suria

KL Beri Laluan Mudah Untuk NS Ke Separuh Akhir

KUANTAN: Negeri Sembilan melangkah ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Tun Razak setelah mengalahkan juara bertahan Kuala Lumpur 2-0 pada perlawanan Divisyen 1 Kumpuan A di sini, malam Khamis.

Negeri Sembilan menjaringkan kedua-dua gol tersebut pada babak pertama menerusi M. Kaliswaran seawal minit kelapan dan S. Devamoorthy pada minit ke-18.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak menggugat kedudukan Kuala Lumpur sebagai juara kumpulan dengan enam mata serta mengiringi Negeri Sembilan ke peringkat separuh akhir.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan kumpulan sama, hasrat Perak untuk memburu tempat ke separuh akhir tidak kesampaian apabila mereka seri 3-3 dengan pasukan ATM.

Perak sekadar menamatkan saingan kumpulan di tangga ketiga dengan empat mata manakala ATM tercorot dalam kumpulan dengan dua keputusan seri tanpa sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan.

Dalam perlawanan Divisyen 2, Melaka menumpaskan Kedah 8-0 untuk menduduki tangga kedua di belakang pendahulu Selangor dengan sembilan mata.

Sabah, yang melakukan kejutan pada kejohanan kali ini, turut mencipta kemenangan ketiga selepas menundukkan Kelantan 4-0.

Sabah turut mengumpul sembilan mata dan menduduki tempat ketiga.

Dalam satu lagi perlawanan, Perlis dan PDRM sekadar seri 3-3. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain