suria

Bekas Ahli Sukan Sabah Meninggal Dunia

KOTA KINABALU: Bekas ahli sukan terkemuka Sabah, Datuk Dilbagh Singh Kler meninggal dunia awal pagi Khamis kerana sakit tua dalam usia 76 tahun.

Mendiang yang meninggalkan isteri, Datin Amrit Kler, tiga orang anak dan seorang cucu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5 pagi di Hospital Queen Elizabeth 2, setelah dimasukkan ke situ selama seminggu, kata anak sulung mendiang, Jaswinder kepada Bernama.

"Ia tidak dijangka sama sekali. Tetapi bapa sudah tidak sihat kerana sudah tua," kata Jaswinder, seorang bekas wartawan New Straits Times dan isteri kepada wakil Bernama di Sandakan, Haslin Gaffor.

Dilahirkan di Kota Kinabalu, Dilbagh adalah seorang atlet terkemuka yang mewakili Malaysia dalam beberapa kejohanan antarabangsa di tahun-tahun 60an seperti Olimpik dan Sukan Komonwel (dahulunya dikenali sebagai Sukan British Empire dan Komonwel).

Bagaimanapun pencapaiannya yang terbesar ialah merangkul pingat emas acara lari berhalangan 3,000 meter dalam Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur (1965), Bangkok (1967) dan Rangoon (1969). Dilbagh pernah berkhidmat sebagai seorang jurulatih atlet di bawah Kementerian Belia dan Sukan negeri dan bersara pada 1991.

Pada 2006, mendiang adalah antara 36 orang penerima anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran 'Datuk' sempena sambutan hari jadi ke-60 bekas Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah.

Mayat mendiang ditempatkan di Rumah Mayat Fook Lu Siew di sini sehingga Sabtu sebelum disemadikan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain