suria

30,000 Tiket Final Piala Malaysia Masing-Masing Untuk Kelantan, ATM

SHAH ALAM: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengedarkan sejumlah 30,000 keping tiket masing-masing kepada pasukan Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pengerusi jawatankuasa pengelola perlawanan akhir, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata tiket tersebut akan diedarkan secara berperingkat, bermula dengan sejumlah 10,000 tiket diedarkan kepada kedua-dua pasukan pada Selasa.

"Kita akan menjual baki 20,000 keping lagi tiket sekiranya kedua-dua pasukan mampu menjual tiket-tiket tersebut sebelum hari perlawanan.

"Jawatankuasa Tiket dan Pintu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mula menjual baki tiket yang tidak terjual di Stadium Shah Alam bermula Khamis ini sehingga hari perlawanan bermula pukul 9 pagi sehingga 7 petang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengelola perlawanan akhir di sini, Selasa.

Hamidin yang juga Naib Presiden FAM berkata, bagi memudahkan penyokong kedua-dua pasukan masuk pada hari perlawanan, penyokong ATM dinasihatkan melalui pintu A, manakala penyokong Kelantan pintu C stadium.

"Kita berharap penyokong kedua-dua pasukan akan datang awal ke stadium bagi memastikan kelancaran perjalanan pada hari tersebut kerana pintu stadium akan dibuka bermula pukul 4 petang," katanya.

Pada masa yang sama, Hamidin turut mengingatkan penyokong kedua-dua pasukan agar tidak membawa masuk bahan larangan ke dalam stadium seperti alat tiupan dari Afrika iaitu 'vuvuzelam' dan mercun.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Wira Salleh Mat Rasid berkata, pihaknya turut mendapat bantuan polis tentera bagi memantau gelagat penyokong kedua-dua pasukan.

"Kita akan memasang beberapa kamera di dalam dan luar stadium untuk membuat pemantauan lebih rapi selain mengenalpasti mana-mana penyokong yang melakukan kesalahan membabitkan soal keselamatan.

"Kaedah ini yang kita gunakan pada perlawanan separuh akhir kedua (di antara Kelantan menentang Selangor di venue yang sama, Jumaat lepas) nyata berkesan di mana kita berjaya menahan beberapa penyokong yang disyaki boleh mengancam keselamatan di dalam stadium," katanya yang juga Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain