suria

Terry Mengaku Salah, Enggan Buat Rayuan

Terry enggan membuat rayuan dan mengakui kesilapannya.
Terry enggan membuat rayuan dan mengakui kesilapannya.
Terry enggan membuat rayuan dan mengakui kesilapannya.

KAPTEN Chelsea, John Terry membuat keputusan untuk tidak mengemukakan sebarang rayuan selepas didapati bersalah mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman kepada pemain pertahanan Queens Park Rangers (QPR), Anton Ferdinand.

Bekas kapten skuad kebangsaan England itu didapati bersalah oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England bulan lalu dan digantung empat perlawanan serta didenda £220,000 (RM1.07 juta).

Tarikh akhir bagi Terry mengemukakan rayuan berhubung hukuman tersebut telah berakhir semalam.

"Selepas membuat pertimbangan sewajarnya, saya membuat keputusan untuk tidak mengemukakan sebarang rayuan berhubung keputusan tersebut.

"Pada kesempatan ini, saya juga memohon maaf kepada semua pihak atas tindakan yang telah saya lakukan sebelum ini.

"Biarpun kecewa dengan keputusan FA England, saya mengakui tindakan dan kata-kata yang saya ucapkan tempoh hari di luar batasan," katanya dalam satu kenyataan.

Terry didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman kepada Ferdinand ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Oktober tahun lalu.

"Tindakan saya tidak dipengaruhi mana-mana pihak dan ia telah mengejutkan pihak pengurusan kelab (Chelsea) serta saya berjanji tidak akan mengulanginya lagi selepas ini," jelasnya.

Terry berkata, dia juga akan memainkan peranan yang penting dalam membantu kelab membendung semua bentuk diskriminasi dalam bola sepak.

"Dalam masa sama juga, saya gembira dengan sokongan yang telah diberikan oleh penyokong-penyokong kelab serta keluarga saya," jelasnya.

Empat perlawanan tanpa Terry:

1. Tottenham lwn Chelsea - Liga Perdana Inggeris, 6 Oct

2. Chelsea lwn Manchester United - Liga Perdana Inggeris, 28 Oct

3. Chelsea lwn Manchester United - Capital One Cup, 31 Oct

4. Swansea lwn Chelsea - Liga Perdana Inggeris, 3 Nov

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain