suria

Nicol Mahu Catat Sejarah Menangi Terbuka M'sia Kali Ke-8

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David menyasarkan untuk memenangi Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB, buat kali kelapan berturut-turut. Acara tahun ini akan diadakan di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil bermula esok, sebelum beralih ke kompleks beli-belah The Curve di Petaling Jaya, pada Khamis untuk pertemuan peringkat suku akhir dan seterusnya.

Ratu skuasy negara berusia 29 tahun yang menjuarai kejohanan tersebut sejak 2005, berkata motivasi untuk beliau memenangi kejuaraan kali ini berkait rapat dengan keupayaan berdepan cabaran dan persaingan yang dilalui sejak beberapa tahun lalu.

"Acara tahun ini akan menjadi cukup menarik kerana anda perlu bersaing dalam lima pusingan perlawanan berdepan kalangan 20 pemain terbaik yang menyertai kejohanan.

"Ia akan menjadi pertarungan yang sukar untuk semua pemain," katanya kepada pemberita pada majlis penajaan CIMB di sini, Isnin.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Datuk Charon Wardini Mokhzani mengumumkan bahawa pemain skuasy kebangsaan Mohd Nafiizwan Adnan ialah pemain tempatan ketiga ditaja CIMB, selepas Nicol dan seorang lagi pemain, Ong Beng Hee.

Nicol memenangi dua kejohanan skuasy wanita antarabangsa tahun ini, iaitu Terbuka British pada Mei dan Terbuka Australia, pada bulan lepas.

Mengenai penajaan CIMB terhadap pemain skuasy tempatan, Nicol memuji langkah tersebut yang membantu meningkatkan sukan ini ke tahap lebih tinggi.

"Ia adalah sesuatu yang sangat bagus untuk pemain mempunyai sokongan tambahan. Langkah CIMB menaja (pemain) perlu dicontohi," kata Nicol yang akan mempertahankan gelaran juara beliau, bermula esok.

Dalam kategori lelaki, pemain nombor lima dunia, Karim Darwish dari Mesir menjadi pemain pilihan untuk menjuarai kejohanan kali ini berikutan juara bertahan tahun lalu, Gregory Gaultier dari Perancis, tidak menyertai kejohanan ini.

Pemenang kategori lelaki dan wanita masing-masing bakal membawa pulang hadiah wang tunai US$50,000(RM155,210) dan US$70,000 (RM217,297). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain