suria

Sepak Takraw Piala MB Terengganu Ditunda Ke November

KUALA TERENGGANU: Kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Terengganu yang dijadual bermula esok selama dua hari, ditunda ke November ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) Mohd Shapian Ali berkata keputusan itu berikutan tarikhnya terlalu dekat dengan Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden ke-4 yang dijadual dari 20 hingga 23 September ini di Kedah. "Disebabkan tarikh terlalu dekat, kebanyakan pasukan luar memberi tumpuan kepada kejohanan Piala Presiden," katanya kepada Bernama, di sini, Khamis.

Mohd Shapian berkata kejohanan Piala Menteri Besar Terengganu itu menawarkan hadiah keseluruhan RM50,000.

Sementara itu, mengenai persiapan Terengganu ke kejohanan Piala Presiden, Mohd Shapian berkata PSTNT akan menjadikannya medan untuk mendedahkan pemain muda.

"Kita akan hantar dua regu untuk acara terbuka dan dua regu untuk kategori 21 tahun ke bawah, kita harap kejohanan ini memberikan pendedahan yang berguna kepada pemain muda kita.

"Pemain-pemain yang akan menggalas cabaran Terengganu nanti terdiri daripada pemain-pemain Piala Emas Raja-raja dan pemain-pemain pasukan pelapis," katanya.

Beliau kesemua pemain terbabit dibimbing bekas jurulatih sepak takraw kebangsaan Thailand Vittaya Bonta. -BERNAMA

Artikel Lain