suria

Lebih 10 Negara Berentap Pada Kejohanan Berbasikal Dunia Di Muar 25 Ogos Ini

KUALA LUMPUR: Lebih sepuluh negara dijangka mengambil bahagian dalam Kejohanan Berbasikal Dalam Gelanggang Siri Piala Dunia UCI yang akan berlangsung di Muar, Johor pada 25 Ogos nanti.

Setiausaha Kehormat Persatuan Berbasikal Dalam Gelanggang Malaysia, Nasir Yahya berkata antara negara yang mengesahkan penyertaan ke kejohanan tahunan itu ialah Brunei, Hong Kong, Thailand, Jepun, Perancis, Belgium dan Republik Czech.

"Ini adalah kali ketiga Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan ini dan kita harap pelumba muda kita mampu menyerlah pada hari kejohanan nanti.

"Saya juga berharap kontinjen Malaysia akan melakukan yang terbaik," katanya.

Nasir berkata kebanyakan atlet berbasikal negara yang akan menyertai kejohanan itu terdiri daripada atlet pelapis kebangsaan dan negeri.

Ini merupakan peluang terbaik mereka untuk menonjolkan bakat dan kebolehan masing-masing, katanya.

Beliau berkata dua disiplin yang akan dipertandingkan dalam kejohanan sehari itu adalah 'artistic cycling' dan 'cycle ball' yang akan turut disertai atlet negara termasuk juara Asia Mohd Zikri Dahlan dan Abu Abas Zulkifli.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain