suria

Muhammad Ziyad Wakili Malaysia Pada Kejohanan Endurance Dunia

LANGKAWI: Penunggang kuda remaja Muhammad Ziyad Muhammad Hamzah dipilih mewakili Malaysia pada Kejohanan Endurance Dunia 2012 di Euseon Park, England pada 25 Ogos ini.

Berusia 16 tahun, Muhammad Ziyad merupakan penunggang termuda yang dipilih bersama enam lagi penunggang untuk membawa cabaran negara ke kejohanan itu.

Beliau yang berlatih secara gigih sejak dua tahun lepas, memberitahu pemberita sudah bersedia menghadapi kejohanan itu.

"Saya berharap dapat melepasi 190 kilometer pada kejohanan itu tetapi tidak meramalkan kedudukan," katanya di sini hari ini.

Beliau yang berkedudukan ke-13 remaja, mencatat nama antara penunggang terbaik setelah memenangi beberapa kejohanan dalam dan luar negara.

"Kami berharap Muhammad Ziyad akan menunjukkan persembahan yang cemerlang untuk mengharumkan nama negara pada kejohanan itu," kata bapanya Muhammad Hamzah Abdullah, seorang pengusaha ladang kuda di Telaga Tujuh di sini.

Katanya Lembaga Pembangunan Langkawi menyumbang RM20,000 untuk membiayai pengurusan pemergian anaknya yang belajar di Sekolah Menengah Tunku Putra ke England.-BERNAMA

Artikel Lain