suria

Nur Suryani Kini Fokus Besarkan Anak

SEPANG: Penembak wanita negara Nur Suryani Mohd Taibi kini mahu memberi tumpuan membesarkan anak selepas selesai beraksi pada Sukan Olimpik London 2012, minggu lepas.

Nur Suryani yang hamil lapan bulan berkata selepas melahirkan anak sulungnya pada September ini, beliau akan berehat seketika sebelum kembali aktif dalam sukan berkenaan.

"Fokus saya selepas ini adalah pada anak yang bakal lahir. Saya dan suami sudah bekerja keras, tanggungjawab pun dah selesai, saya akan berehat dan pastikan kembali 'fit' seperti biasa.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi saya di London. Cuma semasa beraksi hari itu, bayi dalam kandungan bergerak sedikit," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari London, di sini petang Rabu.

Ketibaan Nur Suryani dan suami, Marhazli Mhotar disambut petugas Majlis Sukan Negara (MSN).

Pada temasya itu, Nur Suryani menduduki tempat ke-34 daripada 56 peserta, dengan kutipan 392 mata dalam acara 10 meter Air Rifle Wanita di Lapang Sasar Royal Artillery Barraks di London pada 28 Julai lepas.

Pingat emas acara itu dimenangi penembak China, Yi Siling yang mengumpul 502.9 mata, pingat perak milik Sylwia Bogacka dari Poland dengan 502.2 mata manakala gangsa diraih seorang lagi penembak China, Yu Dan yang mencatatkan 501.5 mata.-BERNAMA

Artikel Lain