suria

Masalah Teknikal Sekat Aksi Azlan Di Litar Suzuka

Aksi Azlan dalam Kejuaraan Coca-Cola Zero Suzuka 8-Hour Endurance Race di Litar Suzuka, Jepun, Ahad.
Aksi Azlan dalam Kejuaraan Coca-Cola Zero Suzuka 8-Hour Endurance Race di Litar Suzuka, Jepun, Ahad.
Aksi Azlan dalam Kejuaraan Coca-Cola Zero Suzuka 8-Hour Endurance Race di Litar Suzuka, Jepun, Ahad.

MASALAH teknikal pada 'clutch' membantutkan misi Azlan Shah Kamaruzaman di dalam Kejuaraan Coca-Cola Zero Suzuka 8-Hour Endurance Race di Litar Suzuka, Jepun, Ahad.

Pun begitu, Azlan membuktikan kemampuannya untuk bersaing dengan pelumba-pelumba bertaraf antarabangsa apabila dia bersama-sama rakan sepasukan, Makoto Tamada dan Chojun Kameya masih mampu mencatat keputusan yang cukup memberangsangkan.

Trio yang mewakili pasukan Honda Team Asia berjaya menamatkan cabaran kategori 8-hour di kedudukan ke-25 daripada 58 pasukan bertanding dengan catatan masa keseluruhan 8:03'01.238s manakala pasukan F.C.C. TSR Honda (Kosuke Akiyoshi, Jonathan Rea dan Tadayuki Okada) muncul sebagai juara dengan masa, 8:01.35.450s.

Sementara itu, Tatsuya Yamaguchi, Yuki Takahashi dan Yusuke Teshima dari pasukan TOHO Racing with Moriwaki mengambil tempat kedua, 8:01'40.277s dan YAMAHA FRANCE GMT94 MICHELIN YAMALUBE (David Checa dan Kenny Foray) muncul tempat ketiga dengan 8:03'13.469s.

Pada asalnya, Azlan, Tamada dan Kameya meletakkan sasaran untuk menamatkan cabaran sepanjang 8-jam itu di antara 10 pasukan terbaik namun masalah teknikal yang dialami Kameya pada peringkat awal perlumbaan sedikit-sebanyak membantutkan harapan mereka.

Namun pasukan ini jelas tidak mudah berputus asa walaupun ketinggalan sebanyak lapan pusingan berbanding pendahulu sebaik masalah 'clutch' tersebut diselesaikan.

Mereka terus mara dan bergilir-gilir menunggang jentera Honda CBR1000RR itu bagi merapatkan jurang dengan pendahulu-pendahulu perlumbaan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila mereka mencatat masa sepusingan pantas secara konsisten dan berjaya mengejar pelumba kelompok tengah dari kedudukan ke-56 pada peringkat awal perlumbaan dan mengambil posisi ke-26 di lap ke-125.

"Perlumbaan 8-hour ini cukup sengit dan mengujakan. Memang tidak dapat dinafikan saya sedikit hampa untuk tidak menghabiskan perlumbaan di kalangan 10 pasukan terbaik tetapi pada masa yang sama saya juga amat gembira sekali.

"Ini kerana perlumbaan minggu ini adalah penampilan sulung saya di dalam kategori ini dan kami berjaya menewaskan ramai pelumba berpengalaman.

"Tambahan lagi, kami berjaya mengharungi perlumbaan sepanjang 8 jam ini, sesuatu yang amat sukar dilakukan kerana hari ini 16 pasukan terpaksa menarik diri. Jika diberi peluang, saya ingin bersaing di dalam kejuaraan ini tahun hadapan dan merebut podium," jelas Azlan pada penampilan sulunya ini.

Keputusan 8-Hour

1. F.C.C. TSR Honda (Jonathan Rea/Kosuke Akiyoshi/Tadayuki Okada) 8:01'35.450

2.TOHO Racing with MORIWAKI (Tatsuya Yamaguchi/ Yuki Takahashi/Yusuke Teshima) 8:01'40.277s

3. YAMAHA FRANCE GMT94 MICHELIN YAMALUBE (David Checa/Kenny Foray) 8:03'13.469s

4.Moto Map SUPPLY (Yoshihiro Konno/Takuya Tsuda/Akira Tamitsuji) 8:02'12.088s

5. Honda Suzuka Racing Team (Kazuki Tokudome/Takashi Yasuda/Koji Kitaguchi) 8:02'45.878s

Artikel Lain