suria

Syarikat Perabot Tawat RM1 Juta kepada Atlet Raih Emas Di London

KUALA LUMPUR: Atlet Olimpik negara yang berjaya menyahut cabaran meraih pingat emas pertama Malaysia pada sukan terbesar dunia bakal menerima ganjaran tambahan bernilai RM1 juta, sumbangan sebuah syarikat perabot.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ganjaran itu merupakan tambahan kepada RM1 juta yang akan diberi oleh kerajaan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) kepada atlet yang meraih emas pertama dari temasya Olimpik.

"Wang tersebut akan dibahagikan kepada kalangan atlet yang berjaya mendapat pingat emas pada Sukan Olimpik, katakanlah seramai tiga atlet kita dapat pingat emas, maka mereka akan berkongsi RM1 juta itu.

"Jika tiada atlet kita mendapat emas, duit ini akan dibawa ke depan dan ditawarkan pada Sukan Olimpik di Brazil pada tahun 2016 nanti. Jadi ini juga pembakar semangat kepada semua atlet sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong dan pengurus pemasaran 3V Holding Sdn Bhd, Chin Song di Bukit Jalil.

Ahmad Shabery juga berharap lebih banyak syarikat dalam negara tampil memberi sokongan kepada atlet yang bakal menggalas cabaran di Sukan Olimpik untuk mengharumkan nama negara.

Sementara itu, Chin Song berkata ganjaran tersebut diharap dapat membakar semangat atlet negara untuk meraih pingat emas pertama selepas Malaysia masih lagi tercari-cari emas tersebut sejak mula bertanding di Sukan Olimpik Melbourne, pada 1956.

"Kami difahamkan, peluang untuk mendapat emas tersebut dari temasya di London lebih cerah kali ini dengan tumpuan kepada sukan badminton dan menembak," katanya.

3V Holding Sdn Bhd merupakan syarikat pengeluar perabot bagi keperluan dalam negara dan eksport.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain