suria

harimau Muda A Mulakan Sesi Latihan Bulan Depan Hadapi Pusingan Kelayakan Piala AFC

KUALA LUMPUR: Pasukan Harimau Muda A dijangka memulakan sesi latihan pusat awal bulan depan sebagai persiapan menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Asia bawah 22 tahun.

Ketua Jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee berkata buat masa ini, beliau tidak dapat menentukan jumlah pemain yang bakal dibawa ke kejohanan yang pertama kali diperkenalkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ekoran penglibatan pasukan itu dalam Liga Singapura.

"Saya akan memutuskan pemain mana yang layak beraksi pada kejohanan itu selewat-lewatnya akhir Mei selepas kita selesai mengadakan sesi latihan.

"Selain skuad Harimau Muda A, saya berhasrat untuk menggunakan beberapa pemain kelab untuk memperkuatkan cabaran pasukan kita," katanya ketika dihubungi Bernama, Jumaat.

Malaysia yang akan diwakili skuad Harimau Muda pada kejohanan itu telah diundi dalam Kumpulan G bersama Korea Selatan, Vietnam, Taiwan, Filipina dan Myanmar selaku tuan rumah untuk kumpulan itu.

Dua pasukan teratas daripada setiap enam kumpulan yang bertanding akan mara ke pusingan akhir kejohanan yang akan berlangsung tahun depan di venue yang belum ditentukan oleh AFC.

Ong berkata pasukan itu dijangka bertolak ke Myanmar pada 21 Jun ini untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang serta cuaca di negara itu.

Ditanya mengenai persediaan bagi menghadapi perlawanan pertama menentang Korea Selatan pada 23 Jun ini, beliau berkata setiap pemain skuad itu tidak perlu gentar untuk berhadapan dengan gergasi bola sepak Asia itu.

"Kita tahu Korea merupakan lawan yang agak sukar dalam kumpulan ini berdasarkan skil permainan pemain mereka tetapi saya tidak mahu ia dijadikan alasan untuk pemain kita mengambil mudah perlawanan itu," katanya.

Kejohanan Piala AFC bawah 22 tahun merupakan kejohanan yang pertama kali yang dianjurkan oleh AFC dengan melibatkan penyertaan 41 pasukan dari benua Asia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain