suria

Pelumba Basikal Negara Jalani Latihan Untuk Hadapi Jelajah Thailand Dan Korea

KUALA TERENGGANU: Pasukan lumba basikal negara kini giat menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Jelajah Thailand dan Korea, akhir bulan ini.

Jurulatih Kebangsaan Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata ini merupakan kejohanan antarabangsa kedua yang disertai pasukan negara selepas Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini.

"Kita akan memberi fokus yang lebih kepada kejohanan ini setelah gagal menyerlah di kejohanan LTdL baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata lima pelumba akan mewakili negara pada Kejohanan Jelajah Thailand, yang berlangsung seminggu mulai 30 Mac hingga 7 April.

Mereka ialah Suhardi Hassan, Ridzuan Zainal, Mohd Rauf Misbah, Fauzan Mat Lotfi dan Amir Mustapha.

Syed Mohd Hussaini berkata bagi Jelajah Korea yang bermula dari 20 hingga 29 April, Malaysia akan menghantar enam peserta.

Beliau berkata pasukan negara membuat persiapan dan latihan sejak 12 Mac lalu di Padang Lalang, Selangor yang menyaksikan peningkatan kayuhan dari semasa ke semasa.

"Kita tidak menaruh harapan yang tinggi dalam kedua-dua kejohanan ini, tetapi kita akan membuat sebaik yang mungkin," katanya.

Syed Mohd Hussaini juga berkata banyak pasukan dan kelab terkemuka akan mengambil bahagian dalam kedua-dua kejohanan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain