suria

Persatuan Bola Sepak Wanita Malaysia Kecewa Dengan FAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Wanita Malaysia (PBSWM) kecewa kerana terus dipinggirkan oleh badan induknya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Timbalan Presiden PBSWM, Tunku Ellie Badariah Tunku Ahmad berkata, Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Tan Sri Annuar Musa memulakan langkah bagi membangunkan semula skuad wanita namun tidak mendapat reaksi positif FAM.

"Pada 2009, Annuar telah memberikan senarai nama anggota Jawatankuasa PBSWM yang baru kepada FAM, tetapi sehingga hari ini, kami tidak menerima apa-apa maklum balas atau panggilan untuk mengadakan perjumpaan tentang persatuan bola sepak wanita kebangsaan," katanya kepada Bernama, Isnin.

Beliau berkata, tanpa sokongan FAM, hasrat Annuar yang menetapkan tempoh empat tahun mulai akhir tahun lepas bagi membentuk kembali skuad bola sepak wanita kebangsaan berwibawa, tidak akan tercapai.

Tunku Ellie, yang juga pengasas persatuan itu, telah hampir separuh abad berusaha membangunkan sukan bola sepak wanita supaya ia terus bergerak sama seperti bola sepak lelaki di negara ini.

"Saya berharap sukan bola sepak wanita dapat diteruskan dan berjalan lancar seperti mana bola sepak lelaki di Malaysia," katanya.

Tunku Ellie berkata, beliau aktif membangunkan sukan itu apabila menubuhkan Persatuan Bola Sepak Wanita Negeri Sembilan pada 1956, sebelum memperluaskannya ke Melaka, Johor, Pahang, Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak. - BERNAMA

Artikel Lain