suria

Nurul Atiqah, Mohd Amirrul Afif Juara Boling Terbuka Remaja Milo 2012

PETALING JAYA: Kejohanan Boling Remaja Kebangsaan Milo 2012 yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, menyaksikan pemain-pemain negeri mempamerkan peningkatan mutu permainan masing-masing.

Dalam kategori remaja perempuan, Nurul Atiqah Ahmad dari Johor tidak menyangka beliau dapat memenangi kejohanan yang pertama kali disertainya itu.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kota Masai, Johor itu menewaskan pemain pelapis kebangsaan Dzuriani Zulkiplee dari Sabah pada perlawanan akhir step-ladder dengan 200-166.

Tempat ketiga dimenangai seorang lagi pemain pelapis kebangsaan, Siti Aishatun Hussin dari Sabah.

Terdahulu pada pusingan Masters, Nurul Atiqah mengungguli perlawanan lapan permainan itu dengan melakukan 204, 257, 238, 245, 243, 220, 188 dan 211 untuk mengumpul 1,806 jatuhan pin.

"Saya tidak menyangka saya akan menang kerana pada saingan peringkat Masters, kebanyakan mereka adalah pemain-pemain pelapis kebangsaan. Sebelum ini saya hanya bermain dalam Kejohanan Remaja All-Stars Milo.

"Saya berharap dengan prestasi yang ada sekarang saya akan mampu membantu negeri Johor pada Sukma akan datang," kata Siti Atiqah, yang membuat penampilan sulung pada temasya Sukan Malaysia di Melaka pada 2010.

Sementara dalam kategori lelaki, Mohd Amirrul Afif Mohd Nasir yang mewakili Selangor turut menewaskan seorang lagi pemain pelapis kebangsaan, Christopher Tiong dari Sarawak dengan 232-189.

Beliau terdahulu mendahului Masters Remaja lelaki selepas melakukan 211, 183, 223, 207, 182, 212, 257 dan 223 untuk mengumpul 1,698 jatuhan pin, diikuti dengan Tiong dan Prasert Anansathaporn dari Kuala Lumpur masing-masing dengan 1,663 dan 1,657 jatuhan pin.

"Selepas empat tahun saya mencuba dalam kejohanan ini, tahun ini saya amat gembira kerana berjaya muncul sebagai juara. Tahun lepas, saya cuba bermain dalam kategori terbuka tetapi sekadar mendapat tempat keempat sahaja.

"Tumpuan saya selepas ini ialah Kejohanan Boling Terbuka Malaysia pada Mei dan kalau boleh mahu terpilih sekali lagi untuk mewakili Selangor pada Sukma Pahang.

Setakat ini, belum ada senarai pemain untuk Sukma," kata penuntut tahun satu jurusan perakaunan Universiti Lim Kok Wing itu.

Semalam, beliau turut cemerlang dalam arena sukan kegemarannya itu dengan memenangi perlawanan akhir Masters Graded lelaki dengan melakukan 2,169 jatuhan pin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain