suria

Peserta Persendirian Cub Prix Diminya Daftar Sebelum 26 Mac

KUALA LUMPUR: Peserta persendirian diminta mendaftar segera bagi menyertai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 di Stadium Batu Kawan, seberang Perai, pada 31 Mac dan 1 April ini.

Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) Ron Hogg dalam kenyataan hari ini berkata bagi menggalakkan penyertaan, pihaknya akan mengekalkan peraturan teknikal sedia ada bagi memastikan kos perlumbaan setiap pelumba kekal munasabah.

Beliau berkata saingan musim ini pasti memberi kelainan memandang tiga pelumba terbaik keseluruhan 2011 iaitu Wazir Abdul Razak, Abdul Fhahmin Mutalib dan Ang Beng Seang tidak lagi dibenarkan beraksi. "Bagi memastikan saingan lebih adil dan bertambah sengit, mereka akan beralih ke kategori lain, jadi pelumba-pelumba persendirian tidak perlu bimbang mengenainya," katanya.

Hogg berkata pendaftaran terbuka kepada pelumba berumur antara 17 hingga 45 tahun yang memiliki lesen perlumbaan kelas 'C' yang dikeluarkan oleh Persatuan Automobil Malaysia (AAM) atau Motorsports Automobile of Malaysia (MAM) sahaja. "Peserta perlu membuat pendaftaran dengan segera kerana penyertaan hanya dihadkan kepada 48 pelumba terawal sahaja," katanya.

Yuran penyertaan peserta pensendirian adalah sebanyak RM100 dan tarikh akhir pendaftaran ialah pada 26 Mac ini.

Mereka yang berminat menyertai perlumbaan itu boleh menghubungi SAM di talian 03-8733-8787. -BERNAMA

Artikel Lain