suria

Tekong Sepak Takraw Malaysia Antara 206 Penerima Anugerah PKNS

SHAH ALAM: Tekong pasukan sepak takraw Malaysia Noor Azman Abdul Hamid merupakan antara 206 anggota Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menerima anugerah penghargaan daripada perbadanan itu pada Khamis.

Noor Azman, 29, yang bertugas sebagai pembantu am pejabat merupakan antara 70 kakitangan PKNS yang menerima Anugerah Khidmat Cemerlang kerana mempamerkan prestasi kerja yang baik sepanjang tahun lepas.

"Saya bersyukur dan gembira kerana dipilih menerima anugerah ini walaupun tahun lepas agak sibuk dengan kejohanan Sukan SEA di Jakarta serta beberapa kejohanan lain," katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang dan Jasamu Dikenang perbadanan itu, di sini.

Kesemua penerima Anugerah Khidmat Cemerlang menerima RM1,000 dan sijil penghargaan. Sebanyak 44 pesara PKNS, termasuk tiga yang telah meninggal dunia, serta 92 kakitangan yang telah berkhidmat antara 20 dan 35 tahun turut menerima anugerah penghargaan masing-masing daripada Pengurus Besar PKNS Othman Omar.

Dalam ucapannya, Othman berkata semua anggota PKNS perlu menerapkan nilai seperti cekap, bertanggungjawab, amanah, telus dan berintegriti dalam usaha menggalakkan kecemerlangan budaya kerja. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain