suria

ACC: Muhammad Edrus Sumbang Emas Pertama Malaysia

KUALA LUMPUR: Selepas hambar tanpa sebarang kilauan pingat pada hari pembukaan Kejohanan Berbasikal Asia ke-32 dan Kejohanan Berbasikal Remaja Asia ke-19 semalam, Muhammad Edrus Md Yunos memberi keceriaan kepada skuad negara pada Khamis.

Pada acara yang berlangsung di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras, Muhammad Edrus mencatat masa terpantas acara 1km ujian masa lelaki elit dengan catatan 1 minit 06.647 saat.

Dia berjaya mengatasi saingan terdekat, Mahmoud Parash dari Iran dengan hanya perbezaan 0.439s.

"Saya tidak menyangka yang saya boleh meraih pingat emas. Sudah lama saya tidak bertanding dalam acara 1km ini. Kejayaan pingat emas ini boleh dikatakan sebagai bonus kepada saya.

"Sebelum bertanding pun saya tidak letak sebarang sasaran dan hanya mahu melakukan yang terbaik. Jurulatih saya, John Beasley sasar pingat sebarang warna," katanya.

Menurut Muhammad Edrus, memandangkan sudah lama tidak beraksi dalam acara 1km, kehadiran jaguh kebangsaan dan juga Asia dalam acara itu Mohd Rizal Tisin banyak memberi semangat kepadanya.

Ketiadaan pelumba China, Zhang Miao dan Jepun, Kazuhiro Mori sedikit sebanyak membantu beliau untuk memenangi pingat.

Sementara itu, skuad berbasikal trek negara turut meraih pingat gangsa melalui Fatehah Mustapa dalam acara 500m ujian masa dengan catatan masa 36.394s.

Acara itu dimenangi pelumba dari Hong Kong, Lee Wai Sze dengan masa 35.320s, manakala pingat perak menjadi milik Xu Yulei dari China dengan masa 35.962s.

"Pencapaian hari ini baik juga. Saya dapat mengekalkan pingat gangsa yang saya menang semasa di Korat (Thailand) tahun lepas. Pada perlumbaan hari ini, saya berlepas dari 'gate' pemula dengan baik tetapi kira-kira suku perlumbaan, kayuhan saya menjadi sedikit perlahan," katanya.

Fatehah seterusnya akan memberi tumpuan kepada peringkat suku akhir acara pecut pada sebelah petang.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain