suria

Azizulhasni Cuba Tampil Prestasi Terbaik Pada ACC 2012

KUALA LUMPUR: Selepas enam tahun tidak beraksi di depan penyokong tempatan, pelumba berbasikal trek negara Azizulhasni Awang berazam memberikan persembahan terbaik kepada penyokongnya.

"Selepas melakukan catatan masa 10.300 saat pada saingan kelayakan pagi tadi, saya yakin dapat buat yang terbaik. Sememangnya, saya jangkakan saya hanya mampu buat catatan 10.500 saat sahaja," katanya ketika ditemui di Velodrom Kuala Lumpur di Cheras malam Rabu.

Pada saingan pertama acara pecut lelaki elit Kejohanan Berbasikal Asia ke-32 malam ini, Azizulhasni, 23, mengatasi saingan pelumba Iran, Ahmad Asgharpourdarabi untuk melangkah ke peringkat suku akhir, Khamis.

"Saya mungkin akan bertemu pelumba Jepun, (Kazunari) Watanabe pada peringkat suku akhir esok (Khamis).

"Dengan momentum kayuhan saya sekarang, saya harap dapat mengekalkannya. Kalau boleh saya mahu mara ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke peringkat akhir," katanya.

Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pelumba bertemu ialah pada kejohanan yang sama dua tahun lepas di Sarjah, Emiriyah Arab Bersatu.

Pada kejohanan itu, Azizulhasni gagal meraih sebarang pingat.

Sementara itu, turut layak ke peringkat suku akhir dalam acara yang sama ialah pelumba elit wanita Fatehah Mustapa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain