suria

Pelumba Berbasikal Sumbang Tiga Perak, Satu Gangsa

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek negara berjaya menambah tiga pingat perak dan satu gangsa pada hari ketiga Kejohanan Berbasikal Asia ke-32 dan Kejohanan Berbasikal Remaja Asia ke-19 di sini, Jumaat.

Ketiga-tiga pingat perak itu diraih menerusi Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapa dan Ummi Hamimah Mohamad, masing-masing bagi acara pecut lelaki elit, wanita elit dan remaja perempuan.

Trio Muhammad Fauzan Nor Azman, Malek Marcus McCrone dan Muhammad Asri Suraizi Mat Riadzi pula memberi pingat gangsa buat negara bagi acara pecut berpasukan remaja lelaki.

Azizulhasni yang tampil selepas enam tahun tidak beraksi di depan penyokong tempatan ternyata kecewa kerana sasaran menyumbang emas kepada negara tidak berhasil. "Ada perubahan jadual hari ini dan saya pun dimaklumkan pada saat akhir. Jadi, saya agak kelam kabut sedikit dan sempat membuat latihan memanaskan badan dalam masa 20 minit sahaja. Saya tahu sebagai pelumba profesional, saya kena buat persediaan awal lagi. "Kecewa tidak dapat menyumbang emas pada hari ini kerana ahli keluarga saya hadir untuk memberi sokongan kepada saya dan pasukan," katanya ketika ditemui di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras.

Acara pecut lelaki elit itu dimenangi pelumba Jepun, Kazunari Watanabe manakala Zhang Lei dari negara China di tempat ketiga selepas menewaskan adiknya, Zhang Miao.

Sementara itu, Fatehah turut meluahkan kekecewaan beliau kerana gagal beraksi cemerlang ekoran tindakan penganjur yang sentiasa mengubah jadual waktu kejohanan. "Saya memang sangat kecewa sebab tidak cukup membuat latihan pemanas badan.

"Penganjur tukar jadual kejohanan dan saya dimaklumkan ketika baru sampai di sini tadi. Kalau ikut jadual yang ditetapkan semalam, saya dah sampai awal iaitu 9.30 pagi untuk 'warming up'.

"Saya tetap mencuba untuk dapat emas tetapi gagal. Masa di trek tadi kaki saya berat. Insya-Allah bagi acara keirin saya akan cuba untuk sumbang emas untuk Malaysia," katanya. Fatehah berkata penganjur sepatutnya memaklumkan kepada semua peserta tentang perubahan jadual sehari sebelum kejohanan diadakan.

"Bukan saya dan Azizul sahaja yang kecewa dengan penganjur tetapi pelumba dari negara lain turut merungut dengan tindakan pengajur yang mengubah jadual pada hari kejohanan," katanya.

Pelumba wanita elit Hong Kong menepati sasaran emas dengan menewaskan Fatehah dan Shi Jingjing dari China di tempat ketiga. Sementara itu, Ummi Hamimah tidak dapat menahan rasa kecewanya dan menitiskan air mata kerana gagal mencapai sasaran untuk mendapatkan emas bagi acara pecut remaja perempuan.

Pelumba berusia 18 tahun itu tewas kepada pelumba Korea Selatan An Hyeji.

"Saya memang berharap sangat untuk dapat pingat emas, sedih sangat sebab ibu saya datang dari Dungun, Terengganu semata-mata untuk bagi sokongan. Hari ini saya memang salah percaturan sebab guna gear berat pada pusingan pertama.

"Saya pun masa atas trek tadi saya agak cemas dan ia sedikit mengganggu konsentrasi saya hari ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain