suria

Pemburuan Tiket Ke Olimpik London 2012 Belum Berakhir

KUALA LUMPUR: Atlet program 'Road To London 2012' masih mempunyai peluang untuk memburu tiket ke temasya Sukan Olimpik 2012 London menerusi beberapa kejohanan kelayakan yang rancak berlangsung ketika ini.

Pengarah Bahagian Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail berkata beberapa kejohanan kelayakan telah dikenal pasti sejak awal lagi bagi memastikan semua atlet di bawah program itu layak ke Sukan Olimpik London, yang bermula pada akhir Julai depan.

"Walaupun tarikh Olimpik London semakin dekat iaitu kira-kira 212 hari lagi, ini tidak bermakna atlet kita berdepan dengan masalah kesuntukan masa kerana semua program telah diatur secara tersunsun oleh pihak MSN," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Sehingga kini, seramai tujuh atlet negara telah mendapat tiket kelayakan itu dengan empat daripadanya adalah pemanah negara iaitu Cheng Chu Sian, Khairul Anuwar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Nurul Syafiqah Hashim.

Bakinya adalah penerjun negara iaitu Bryan Nikson Lomas, Pandelela Rinong dan Yeoh Ken Nee yang turut mendapat tiket awal ke London.

Ahmad Shapawi berkata MSN giat menyusun program bagi memastikan pasukan pemanah wanita negara turut layak mendapat tempat menerusi Kejohanan Piala Dunia Ketiga yang akan berlangsung di Amerika Syarikat pada Jun depan.

Sebelum beraksi di kejohanan itu, skuad memanah negara akan menyertai Grand Prix Asia di Thailand, Piala Dunia siri pertama (China) dan Piala Dunia siri kedua (Turki) sebagai kejohanan pemanas badan.

Beliau berkata pemburuan mengumpul mata kelayakan bagi acara badminton dan berbasikal sedang rancak berjalan dan keputusan akhir bagi atlet yang layak hanya diketahuai pada Mei depan.

Ahmad Shapawi berkata skuad menembak negara masih mempunyai satu lagi pelung untuk layak ke Olimpik London menerusi Kejohanan Menembak Asia di Doha, Qatar pada Febuari depan.

Sementara itu, skuad hoki negara pula perlu merebut peluang terakhir di Kejohanan Kelayakan Olimpik Lelaki di Dublin, Ireland pada Mac 2012.

Katanya program 'Road To London' masih berada dalam landasannya dan berharap lebih ramai atlet negara akan layak ke temasya itu.

MSN sebelum ini menyenaraikan enam acara sukan yang mempunyai potensi untuk menyumbang pingat di Olimpik London iaitu badminton, berbasikal (acara trek), terjun, menembak, memanah dan hoki, yang diletakkan dalam program dikenali 'Road To London 2012'. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Arsenal, Wolves Seri 1-1

Artikel Lain