suria

Isu Peluru Skuad Menembak Bukan Perang Psikologi -Ahmad Shabery

PALEMBANG: Isu kesukaran skuad menembak negara untuk membawa masuk bekalan peluru bagi menghadapi temasya Sukan SEA ke-26 di sini bukanlah perang psikologi negara tuan rumah, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

"Tidak adil untuk kita katakan ia perang psikologi kepada Malaysia. Saya baca dalam laporan akhbar tempatan pun ada laporan yang seumpamanya. Saya ada beritahu atlet kita, selalunya negara tuan rumah mempunyai kelebihan tersendiri.

"Sebagai atlet yang bertandang ke sini, kita kena perlu bersedia dengan keadaan seperti ini," katanya ketika bertemu wartawan Malaysia di Pusat Media Utama (MPC) dan Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) di Bangunan Bank Sumsel Babel di sini, Jumaat. Sekiranya timbul unsur-unsur seumpama itu, Ahmad Shabery berkata persatuan sukan perlu merujuk kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk membawa isu itu kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (INASOC).

Rabu lepas, skuad menembak Malaysia tiba di Palembang tanpa bekalan peluru ekoran larangan syarikat penerbangan.

Syarikat penerbangan itu meminta mereka mengemukakan surat pelepasan dari negara pengeluar peluru iaitu Jerman, sebagai syarat membawa peluru bersama senjata ketika mereka mendaftar masuk.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata isu tersebut telah diselesaikan.

"Masalah itu telahpun diselesaikan oleh pegawai MSN dan pengurus pasukan menembak (Muzli Mustakim) hari ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain