suria

Tumpuan Khairul Anuar Tidak Terjejas

JAKARTA: Tumpuan pemanah negara Khairul Anuar Mohamad untuk membantu pasukan recurve lelaki Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011 tidak tergugat dengan langkah penganjur mengubah format.

Pemuda berusia 20 tahun itu menganggap pertukaran format mengikut Persekutuan Memanah Antarabangsa (FITA) bukan isu besar meskipun ia memerlukan beliau melakukan pelarasan bagi menyesuaiakan diri.

"Saya diberitahu format ini memerlukan pemanah melepaskan panahan pada jarak 30, 50, 70 dan 90 meter pada pusingan kelayakan sebelum meneruskan pada pusingan kalah mati.

"Masalahnya pada sesi latihan, saya jarang melakukan panahan dari jarak 90 meter dan cuba mendapatkan rentak kerana saya biasa dengan panahan dari jarak 70 meter," katanya ketika ditemui di sini, Sabtu.

Khairul Anuar, yang berasal dari Terengganu, bersama gandingan Chan Chu Sian dan Haziq Kamaruddin sebelum ini telah melayakkan pasukan recurve lelaki Malaysia ke Sukan Olimpik 2012 di London selepas trio itu meraih tempat kesembilan pada kejohanan memanah dunia di Turin, Itali baru-baru ini.

Pada kejohanan memanah Asia di Teheran, Iran bulan lepas pula Khairul Anuar beraksi cemerlang apabila membantu Malaysia meraih dua pingat emas dalam berpasukan recurve dan individu. Khairul Anuar berkata beliau bertekad mendapatkan pingat emas dalam acara berpasukan bagaimanapun tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi pada kategori individu.

Kecenderungan sasarannya ialah untuk menjuarai acara berpasukan bersama Chu Sian dan Haziq selaras dengan sasaran yang ditetapkan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM).

"Sukar untuk saya puaskan hati semua orang untuk meletak sasaran dalam saingan individu kerana saya masih perlu banyak belajar.

"Saya lihat peserta dari Thailand, Myanmar dan Laos harus diberi perhatian pada perlawanan Sukan SEA kali ini dan saya janji akan buat yang terbaik buat negara," katanya.

Enam belas atlet yang mewakili skuad memanah negara tiba di ibu negara Indonesia ini pada Jumaat dan akan memulakan saingan di Lapangan Panahan, Gelora Bung Karno, Senayan pada Ahad. -BERNAMA

Artikel Lain