suria

KLFA Cari Rakan Program Baru Untuk Akademi Bola Sepaknya

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) sedang mencari rakan program baru untuk pembangunan akademi bola sepaknya di Taman Melawati, Hulu Klang dekat sini ekoran pembatalan perjanjian dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC baru-baru ini.

Presiden KLFA Datuk Astaman Abdul Aziz berkata perjanjian itu terpaksa dibatalkan ekoran perbezaan polisi di antara kedua-dua pihak.

"KLFA lebih fokus kepada pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi manakala Liverpool lebih berminat untuk menjadikan akademi itu sebagai perniagaan komersil.

"Kami sedang mengadakan perbincangan dengan dua kelab di England namun butirannya tidak boleh saya jelaskan bagi memastikan kelancaran perbincangan itu," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Sebelum ini KLFA mengadakan perbincangan dengan Liverpool FC bagi membangunkan akademi bola sepaknya di Taman Melawati yang dianggar bernilai RM5.4 juta. Astaman berkata pembukaan akademi seluas 3.28 hektar di Taman Melawati yang sebelum ini dijadual Januari lepas ditunda kepada Mac tahun depan ekoran beberapa pembangunan fizikal akademi itu belum disiapkan.

"Beberapa bahagian sedang disiapkan oleh kontraktor yang dilantik seperti gimnasium, kafetaria dan asrama," katanya.

Beliau berkata KLFA akan memulakan pengambilan pelatih di akademi itu selepas ia disiapkan pada Mac depan.

"Untuk permulaan kita akan mengambil 25 pemain berusia bawah 17 tahun sekitar Kuala Lumpur," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain