suria

Shaaban Sasar Kelompok 20 Teratas

KUALA LUMPUR: Pemain golf profesional Malaysia, Shaaban Hussin menetapkan sasaran untuk berada dalam kelompok 20 pemain terbaik dalam kejohanan CIMB Asia Pacific Classic Malaysia tahun ini, yang bermula Khamis ini.

"Saya bermain dengan baik semasa sesi kelayakan tahun ini dan saya hanya perlu meneruskan persembahan yang sama minggu ini. Saya tidak mahu lagi berada dalam kedudukan tercorot.

"Kedudukan 20 pemain terbaik adalah keputusan yang munasabah. Saya agak yakin saya boleh bermain dengan baik tahun ini," kata pemain berusia 31 tahun itu.

Kejohanan itu menawarkan hadiah lumayan US$6.1 juta (kira-kira RM9.5 juta).

Shaaban akan beraksi bagi tahun kedua berturut-turut dalam kejohanan berkenaan, selepas sekali lagi mengungguli sesi kelayakan yang diadakan di venue yang sama pada 14 Sept.

"Saya banyak melakukan latihan untuk membuat pukulan leret. Saya bermain agak baik tahun ini dalam Jelajah Asia dan saya berpendapat pengalaman bermain dalam kejohanan ini tahun lepas banyak membantu dalam prestasi saya.

"Saya akan berusaha melakukan yang terbaik untuk bermain bawah 10 minggu ini. Saya rasa mata kemenangan ialah kira-kira bawah 18," katanya.

Shaaban berkata beliau merasakan kurang tekanan bertanding dalam pertandingan berprestij tahun ini memandangkan beliau bukanlah satu-satunya pemain dari Malaysia yang akan beraksi.

"Sudah tentulah tekanannya agak kurang apabila Danny Chia turut berada di padang. Setidak-tidaknya tumpuan bukanlah berterusan terarah kepada saya. Malah saya ada rakan untuk berlatih," katanya.

Chia, 39, mendapat penyertaan wildcard selaku pemain Malaysia di kedudukan teratas dalam Asian Order of Merit. Ketika ini beliau berada di kedudukan ke-48.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain