suria

Nasib Fahmi, Farid Berbeza Pada Sesi Latihan

SEPANG: Pelumba 125cc negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin berpuas hati dengan sesi latihan bebas perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Shell Advance Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Jumaat.

Menurut Fahmi, pada perlumbaan sesi pertama, dia menghadapi kesukaran kerana suspensi agak keras namun situasi itu berubah pada sesi latihan kedua.

“Biarpun sesi ujian pertama pada latihan sebelah pagi ia sedikit sukar, namun saya telah mencuba pada sesi latihan kedua dan ianya lebih baik.

“Bagi saingan kelayakan esok (Sabtu) saya akan mencuba mencatat keputusan terbaik bagi memastikan saya boleh berada di posisi permulaan yang selesa pada perlumbaan nanti.

"Berbanding tahun lalu, saya berada di barisan belakang permulaan kerana pada aksi kelayakan sebelum itu saya hanya menghabiskan dua pusingan sahaja disebabkan terjatuh.

“Tahun ini saya lebih tenang dan akan cuba membaiki beberapa kelemahan yang ada sebelum perlumbaan. Mengenai cuaca yang tidak menentu pula, saya tetap bersedia sekiranya hujan dan sebenarnya saya tidak pernah beraksi dalam keadaan basah di litar ini.

“Ia tidak menjadi masalah besar kerana pada pusingan sebelum ini, saya berjaya mengutip mata ketika berlumba dalam keadaan hujan. Saya harap dapat mencatat masa yang baik sekiranya berlaku hujan,” katanya kepada media selepas sesi latihan kedua.

Fahmi mencatat 2’19.062 pada sesi latihan pertama dan 2’17.175 pada latihan kedua.

Sementara itu, nasib agak berbeza dengan seorang lagi pelumba 125cc negara, Muhammad Farid Badrul yang dilihat masih kekok menunggang jentera Derbi ini selepas terjatuh pada babak sesi latihan kedua.

“Latihan pertama saya mengalami masalah teknikal dan gagal mencatat keputusan yang baik, manakala pada latihan kedua saya terbabas kerana cuba mengelak pelumba lain yang masuk ke dalam pit. Bagaimana pun saya dapat merasakan jentera tunggangan semakin baik.

“Secara keseluruhannya pada sesi latihan hari ini, saya masih tidak berpuas hati.

"Pada sesi kelayakan esok, saya akan cuba mencatat keputusan yang baik,” katanya yang mengalami cedera ringan di tangan kanan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain