suria

Malaysia Sasar Satu Emas Sukan Remaja Komanwel 2011

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menghantar satu kontinjen kecil dianggotai 18 atlet dan lima jurulatih untuk menyertai Sukan Remaja Komanwel 2011 yang akan berlangsung di Isle of Man, United Kingdom dari 7 hingga 13 September ini.

Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata atlet negara akan menyertai empat daripada tujuh acara yang dipertandingkan iaitu badminton, olahraga, berbasikal dan akuatik (renang).

Malaysia tidak mengambil bahagian dalam acara tinju, gimnastik dan ragbi 7 sebelah.

"MSN mensasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas dari acara badminton menerusi juara perseorangan lelaki Kejohanan Remaja Asia, Zulfadli Zulkifli," kata Jefri kepada Bernama.

Pada edisi 2008 di Pune, India, kontinjen negara meraih tiga emas, lima perak dan empat gangsa. Tiga emas dari India datangnya dari acara badminton (2) dan menembak (1).

Kontinjen ke Isle of Man akan diketuai oleh Penolong Bendahari Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Rosmanizam Abdullah dan akan berlepas pada 6 September ini.

Sukan Remaja Komanwel bermula dengan edisi pertama di Scotland pada tahun 2000 dan diadakan selang empat tahun sekali namun pada 2005, Persekutuan Sukan Komanwel menetapkan temasya bagi atlet berumur di bawah 18 tahun ini tidak akan diadakan pada tahun Olimpik. - BERNAMA

Artikel Berikut

Arsenal Dapatkan Khidmat Arteta

Artikel Lain