suria

Berbasikal (Universiade): Malaysia Hilang Satu Pingat Emas Sebelum Ke Shenzen

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal kehilangan satu pingat emas daripada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di China selepas jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang mungkin tidak beraksi pada temasya itu yang akan berlangsung dari 12 hingga 24 Ogos nanti.

Walaupun tiada kenyataan rasmi daripada Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), difahamkan bahawa Azizulhasni tidak akan mengambil bahagian pada temasya dwitahunan itu.

Ada ura-ura yang mengatakan bahawa ketua jurulatih kebangsaan, John Beasly tidak membenarkan anak didiknya mengikuti temasya tersebut kerana bimbang akan menjejaskan tumpuan Azizulhasni ke Sukan Olimpik London 2012.

Pengurus skuad berbasikal negara ke Universiade 2011, Zufri Yazid berkata pihaknya bagaimanapun masih belum mengugurkan nama Azizulhasni dalam senarai skuad berbasikal kerana masih menunggu jawapan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Insitut Sukan Negara (ISN).

"Nama Azizulhasni masih belum digugurkan kerana kita masih mengharapkan bahawa beliau akan dapat bersama kita.

"Sekiranya beliau tidak dapat mengikuti, kita hanya membuat penarikan diri sebelum kejohanan," katanya ketika dihubungi Bernama, Isnin.

Beliau berkata bagimanapun skuadnya tetap optimis meletakan sasaran satu pingat tanpa mengira warna terhadap skuad pimpinanya.

"Saya yakin bahawa salah seorang daripada tiga pelumba iaitu Mohammad Akmal Amrun, Muhammad Rauf Nur Misbah dan Kimbeley Yap Fui Li mampu membawa balik sekurang-kurangnya satu pingat tanpa mengira warna dari Shenzhen," katanya.

Zufri berkata ketiga-tiga atlet tersebut kini menjalani latihan persiapan menghadapi Sukan SEA, Indonesia 2011 di Chiang Mai, Thailand sebelum berangkat ke Shenzhen pada 10 Ogos nanti.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam 13 jenis sukan di Universiade iaitu renang, terjun, badminton, catur, berbasikal, bola sepak, gimnastik, golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan taekwondo.

Antara atlet elit yang akan mengambil bahagian pada temasya kali ini ialah Pandelela Renong dan Leong Mun Yee (terjun), Bryan Nickson Lomas (terjun), Khoo Cai Lin (renang), Zulfadli Zulkifli (badminton) serta Wan Mohd Khalmizam Wan Abd Aziz dan Chen Chu Sian (memanah). - BERNAMA

Artikel Lain