suria

Impian Skuad Wanita Negara Kecundang Di Tangan Vietnam

KUALA LUMPUR: Kemaraan skuad sepak takraw wanita kebangsaan untuk melangkah ke perlawanan akhir terhalang ekoran kekalahan kepada Vietnam 1-3 di peringkat separuh akhir kategori wanita Kejohanan Sepak Takraw Dunia Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) 2001 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa pada Ahad.

Skuad bimbingan Mohd Fikri Mohd Nor itu nyata gagal menyaingi kematangan corak permainan yang ditonjolkan Vietnam yang merupakan naib juara Sukan Asia 2010 di Gungzhou, China, meskipun dilihat berusaha memberikan tentangan.

Pada set pertama, trio wanita kebangsaan yang dibarisi oleh Noor Fairuz Azizan, Rahilah Harun dan Nor Farhana Ismail gagal mengatasi skuad Vietnam yang mendahului dengan mata 15-5.

Malaysia, yang melakukan pertukaran pemain dengan menggantikan tempat Rahilah dengan Siti Nurzubaidah Che Ab Wahab pada set kedua, bangkit menyekat kemaraan lawan dengan kemenangan tipis 15-12 pada set tersebut.

Vietnam yang dibarisi trio Lai Thi Huyn Trang, Dinh Thi Thuy Hanh dan Nguyen Thi Dung mengekang kebangkitan Malaysia pada set ketiga dengan mata 15-4 dan menamatkan set keempat dengan mata 15-11 untuk melangkah ke peringkat akhir.

Jurulatih skuad wanita kebangsaan, Mohd Fikri berkata beliau berpuashati dengan persembahan anak didiknya walaupun tewas kepada Vietnam kerana skuadnya telah mencapai sasaran mara ke peringkat separuh akhir.

"Banyak perkara yang masih perlu diperbaiki lagi dan saya dapat lihat bahawa skuad wanita negara perlu mendapat lebih pendedahan beraksi di kejohanan luar," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata semangat yang ditunjukkan oleh semua pemain membuktikan bahawa skuad wanita kebangsaan mempunyai peluang untuk mara ke peringkat yang lebih tinggi pada masa depan jika semangat yang ditonjolkan dikekalkan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain