suria

Rekod Tanpa Kalah PKNS Lebur

PETALING JAYA: Rentak cemerlang rekod tanpa kalah juara Liga Perdana, PKNS Selangor, akhirnya lebur di Bumi Kenyalang apabila kalah 0-1 di tangan Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, Jumaat malam.

Zamri Morshidi muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-75 untuk membantu Sarawak mencengkam kedudukan naib juara liga dengan 45 mata.

Liga Perdana musim ini tinggal satu lagi perlawanan pada 1 Julai depan.

Walaupun, gagal mengekalkan rekod bersih, pasukan PKNS Selangor masih mempertahankan pencapaian hebat sepanjang musim ini dengan hanya membolos enam gol dan menjaringkan 49 gol.

Di JOHOR BAHRU, pasukan Majlis Perbandaran (MP) Muar gagal menggunakan peluang terbaiknya beraksi di tempat sendiri apabila tumpas 1-3 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium JCorp, Pasir Gudang.

Kemenangan tersebut membolehkan Polis kini memintas Sime Darby di tangga ketiga dengan 36 mata.

Di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Sime Darby terikat seri tanpa jaringan menentang pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) FC.

Di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai, pasukan Pulau Pinang mengakhiri kemarau kemenangan sulung apabila mengatasi SDM Navy 4-2.

S. Veenod meledak hatrik pada minit ke-21, 49 dan 86 dan satu gol menerusi Khairzul Azri Jamal Haziq pada minit ke-32 sementara dua gol SDM Navy masing-masing disumbat oleh Azrizan Ahmad (min-70) dan Akmal Faiz Ratim pada minit ke-77. -BERNAMA

Artikel Lain