suria

Pemain Pelapis Kuasai Boling Masters Terbuka Remaja Antarabangsa

PETALING JAYA: Kejohanan Boling Masters Terbuka Remaja Antarabangsa Milo di Sunway Mega Lanes di sini hari ini menjadi milik pemain pelapis negara apabila mereka menjuarai kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

Dalam kategori lelaki, Khoo Beng Khai, 20, yang melakukan 2,100 jatuhan pin, berjaya mengatasi pesaing terdekat David Tsang dari Hong Kong dengan kelebihan 24 pin.

Tempat ketiga menjadi milik seorang lagi pemain pelapis negara, Jonathan Chan dengan mengumpul 2,073 jatuhan pin selepas 10 permainan.

"Saya sangat teruja dengan kemenangan sulung ini dan persaingan sememangnya sengit,"kata Khoo, yang kini menjadi pemain sepenuh masa.

Selepas ini, beliau akan memberi tumpuan kepada persiapan bagi menghadapi Kejohanan Terbuka Antarabangsa Singapura minggu depan. Selain itu, Khoo juga berharap beliau turut tersenarai untuk mewakili negara ke Kejohanan Remaja Asia, di Kaherah, Mesir dan Kejohanan All-Star Remaja Antarabangsa di sini pada Disember ini.

Dalam kategori wanita pula, Fatin Azmira Khairil Faizi, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh, dengan selesa menjuarai acara itu selepas mencatatkan 2,011 jatuhan pin.

Sementara dua lagi pemain pelapis, Radin Nur Najwa Arifah Radin Dzulfakar dan Puteri Nadia Kamarul Mahadir masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan 1,961 dan 1,950 jatuhan pin.

"Pada permulaan permainan saya agak takut juga kerana ada saingan yang kuat daripada pemain luar negara. Saya akhirnya dapat menguasai rasa gementar itu dan bermain dengan baik," kata Fatin Azmira.

Tumpuan beliau selepas ini ialah untuk menghadapi Kejohanan Terbuka Antarabangsa Singapura dan Kejohanan Sekolah-sekolah ASEAN pada Julai ini. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain