Enam Pelari Pecut Elak Ujian Anti-Doping - Sukan | mStar

Enam Pelari Pecut Elak Ujian Anti-Doping

KUALA LUMPUR: Enam pelari pecut kebangsaan -lima wanita dan seorang lelaki menghilangkan diri daripada pemeriksaan perubatan ketika diminta menjalani ujian anti-doping sebelum ke luar negara yang diadakan di Institut Sukan Negara (ISN), Selasa.

Turut menghilangkan diri ialah ketua jurulatih olahraga Harun Rasheed, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong pada sidang media di sini hari ini. Hadir sama ialah Ketua Pengarah ISN Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

"Kesemua mereka gagal dikesan dan dihubungi sehingga kini malah tidak menghadirkan diri untuk menjalani latihan biasa pada Rabu," kata Zolkples.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama atlet terbabit.

Kelima-lima atlet pecut wanita itu bersama Mohd Jironi Riduan (1,500m lelaki), K.Ganthimanthi (1,500m wanita)dan S.Mathialagan (800m lelaki) sepatutnya menjalani pemeriksaan perubatan sebelum berlepas ke Bulgaria pada Sabtu ini bagi tujuan latihan dan mengambil bahagian dalam beberapa siri kejohanan di Eropah. Selain atlet yang akan ke Bulgaria, atlet olahraga lain yang turut menjalani pemeriksaan perubatan dan ujian anti-doping semalam ialah Noraseela Khalid (400m berpagar), Tan Song Hwa (baling tukul besi) dan Loo Choo Sieng (jalan kaki lelaki).

Zolkples berkata lima pelari pecut wanita itu pada mulanya hadir di ISN bagi menjalani pemeriksaan perubatan tetapi menghilang diri bila diberitahu mereka juga perlu menjalani ujian anti-doping.

"Mereka memberi alasan belum bersarapan dan terus menghilang diri sehingga kini walaupun pegawai MSN berulang kali cuba menghubungi mereka melalui telefon bimbit masing-masing.

"Pegawai MSN kemudian menghubungi ketua jurulatih olahraga Harun, malangnya Harun juga tidak dapat dihubungi dan dikesan sehingga kini," katanya.

Katanya seorang lagi pelari pecut lelaki langsung tidak hadir bagi tujuan pemeriksaan perubatan dan anti-doping.

Tanpa mahu membuat spekulasi mengenai keengganan pelari-pelari tersebut menjalani ujian anti-doping, Zolkples berkata beliau akan menghantar laporan mengenai kes tersebut kepada presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (Koam) Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Kami tidak mahu membuat spekulasi tindakan mereka enggan menjalani ujian anti-doping. Ketika ini, mereka melakukan kesalahan ingkar arahan dari segi pentadbiran bila diarah menjalani ujian dan menghilang diri dari menjalani latihan," katanya.

Sementara Dr Ramlan berkata mengikut peraturan badan anti-doping dunia (WADA), atlet terbabit wajib memberikan sampel air kencing mereka bila diminta berbuat demikian.

"Mereka perlu mengisi borang terlebih dahulu dan dalam tempoh satu jam, perlu memberikan sampel air kencing. Jika mereka enggan, itu satu kesalahan," katanya.

Beliau berkata mengikut prosedur, pihaknya akan membuat tiga percubaan untuk mengesan dan menghubungi atlet terbabit.

"Jika terus gagal dikesan dan dihubungi, ISN akan membuat laporan kepada MSN, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), WADA dan badan induk olahraga dunia untuk tindakan lanjut," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

De Gea Nafi Ikat Kontrak Dengan United

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

Artikel Lain

BN, PAS bentuk kerajaan baharu di Johor