suria

Cai Lin Hampiri Ke Sukan Olimpik

KUALA LUMPUR: Perenang wanita negara, Khoo Cai Lin menghampiri impiannya untuk beraksi buat kali kedua di temasya Sukan Olimpik dalam acara 800m gaya bebas.

Pada hari terakhir Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-54, di sini, Ahad, Cai Lin, 23, berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik London tahun depan di bawah kategori B.

Beliau mencatat masa lapan minit, 49.28 saat dan masa kelayakan Olimpik kategori B ialah 8:51.82s, manakala kelayakan kategori A ialah 8:33.84s.

"Saya sememangnya jangka dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik tetapi bagaimanapun, saya belum tentu dapat pergi. Saya kena layak dengan masa kategori A.

"(Walau bagaimanapun) Saya agak berpuas hati dengan catatan masa yang dilakukan hari ini dan saya dapat mengekalkan rentak renangan saya dalam acara 800m," katanya ketika ditemui pemberita.

Menurutnya had kelayakan untuk ke Sukan Olimpik adalah lebih mudah berbanding had kelayakan untuk menyertai Kejohanan Renang Dunia.

"Saya masih perlu untuk memperbaiki catatan masa saya. Catatan masa 8:49.00s adalah satu catatan masa yang sederhanasahaja dan saya masih mempunyai masa sehingga bulan depan untuk lakukannya," kata perenang yang mewakili Selangor itu.

Memandangkan tidak banyak kejohanan selepas Kejohanan Renang Terbuka Malaysia, Cai Lin berkata beliau akan menumpukan masa untuk latihan menjelang Kejohanan Renang Dunia di Shanghai, China pada Julai depan.

Pada temasya Sukan Olimpik Beijing pada 2008, Cai Lin mengambil bahagian dalam acara 400m dan 800m gaya bebas.

Sementara itu, seorang lagi perenang kebangsaan, Kevin Yeap berjaya mencipta rekod baru kejohanan dalam acara 1,500m gaya bebas lelaki.

Kevin, yang mewakili Perak, memperbaharui rekod milik beliau iaitu 15:55.64s yang dicipa tahun lepas dengan catatan masa 15:52.84s.

Dalam pada itu, Foo Jian Beng, yang mewakili Selangor, memperbaharui rekod kebangsaan milik beliau dalam acara 50m gaya bebas lelaki.

Walaupun sekadar menduduki tempat keempat dalam acara terakhir yang dipertandingkan hari ini, Jian Beng mencatat masa 23.42s untuk mengatasi rekod lama, 23.45s yang dilakukan di Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu pada 2008.

Selangor menjadi pasukan terbaik Malaysia pada edisi kali ini dengan mengumpul tiga emas, tiga perak dan tujuh gangsa, manakala pasukan terbaik menjadi milik Hong Kong dengan 19 emas, 10 perak dan 17 gangsa.-BERNAMA

Artikel Lain