suria

15 Pasukan Sertai Kejohanan Sepak Takraw Belia

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 15 pasukan akan menyertai Kejohanan Sepak takraw Belia Kebangsaan yang akan berlangsung di Stadium Negeri di sini, selama lima hari mulai Rabu ini.

Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSTM) Mohd Sapian Ali berkata mereka terdiri daripada 13 pasukan negeri, satu masing-masing dari Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) dan Majlis Sukan Universiti-universiti Malaysia (Masum).

"Semasa kejohanan di Melaka tahun lepas, Terengganu muncul juara dan kita berhasrat untuk mempertahanan kejuaraan itu tahun ini.

"Kita akan menghantar pasukan sepak takraw yang akan mewakili Sukan Malaysia (Sukma) tahun depan, yang baru pulang dari menyertai kejohanan Sukan Arafura di Darwin, Australia baru-baru ini ," katanya, Ahad.

Mohd Sapian berkata pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu kumpulan A meliputi Terengganu, Sabah, Pulau Pinang dan Pahang, kumpulan B (Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan MSSM), kumpulan C (Kedah, Sarawak, Kelantan dan Masum), dan kumpulan D (Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka).

Juara kejohanan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, tempat kedua RM2,000 dan dua pemenang tempat ketiga masing masing menerima RM1,000.

Mengulas mengenai pasukan Terengganu yang baru pulang dari Darwin, Mohd Sapian yang juga Pengerusi Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu, berkata mereka akan terus dibimbing jurulatih dari Thailand Vitayu Bontte.

"Kita ingin mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lepas. Dengan semangat pemain yang tinggi dan Terengganu pula menjadi tuan rumah, tidak mustahil kita dapat mengulangi kejayaan musim lalu," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

West Ham Pecat Grant

Artikel Berikut

Artikel Lain