suria

TM Mulakan Kempen Team Malaysia

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) melancarkan kempen sukan yang dikenali sebagai 'Team Malaysia' bagi menghimpunkan sokongan peminat sukan tempatan dalam kegiatan sukan negara.

Sempena kempen 'Team Malaysia' itu, TM mendapatkan hak perniagaan untuk menghasilkan dan mengedarkan barangan yang mempunyai logo Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Majlis memeterai perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi TM Datuk Dr Halim Shafie.

Perjanjian itu memberikan hak eksklusif kepada TM ke atas jersi Panthera MS N(jersi Harimau Malaya) dan juga logo Olimpik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd Isa menandatangani perjanjian itu bagi pihak TM, manakala MSN diwakili oleh Ketua Pengarahnya Datuk Zolkples Embong dan MOM oleh presidennya Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

"Dulu jersi Panthera hanya dipakai secara rasmi oleh atlet negara pada kejohanan peringkat antarabangsa dan kini peminat sukan negara juga boleh mendapatkan jersi itu dan memakainya pada bila-bila masa," kata Ahmad Shabery selepas majlis itu.

Ahmad Shabery berkata TM juga berjanji untuk menambah RM100,000 kepada Skim Hadiah Kemenangan Sukan MSN (Shakam) kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik yang berjumlah RM1 juta.

Sementara itu, Halim dalam ucapannya pada majlis itu, berkata kempen 'Team Malaysia' dilihat unik kerana ia akan mencetuskan semangat cintakan negara melalui sukan dengan menghimpunkan sokongan daripada 28 juta rakyat Malaysia.

TM secara konsisten telah terlibat secara langsung dalam beberapa penganjuran sukan tempatan seperti Liga Malaysia sejak 2005, Le Tour de Langkawi, Piala Monsun, KL Towerthon, Cabaran Berbasikal Bukit Langkawi dan Sukan Malaysia (Sukma).

Jersi Panthera Team Malaysia boleh didapati pada harga RM79.90 di premis TMPoint terpilih.

Selain Itu, orang ramai juga boleh membelinya secara dalam talian di laman web rasmi TM, www.tm.com.my atau TM Rewards (www.tmrewards.com.my) dan Everyone Connects (www.everyoneconnets.net) dengan harga RM69.90 bermula Jumaat.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain