suria

Manassero Muncul Juara Paling Muda Pada Kejohanan Golf Maybank Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain remaja Matteo Manassero dari Itali menerima hadiah hari lahir ke-18 dua hari lebih awal apabila merangkul kejuaraan Golf Maybank Terbuka Malaysia 2011, Ahad.

Manassero, yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya pada Selasa ini, melakarkan catatan 16 bawah par 272 untuk muncul sebagai pemain paling muda dalam sejarah kejohanan itu di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di Bukit Kiara di sini.

Pada pusingan akhir hari ini, beliau melakukan catatan empat bawah par 68 untuk mengumpul 272 pukulan dalam saingan empat pusingan, sekaligus mengatasi pencabar terdekat Gregory Bourdy dari Perancis dengan kelebihan satu pukulan.

Gelaran Terbuka Malaysia adalah kedua buat Manassero selepas kejuaraan Castello Masters Costa Azahar di Valencia, Sepanyol, Oktober tahun lepas.

"Kemenangan pertama adalah pencapaian terbaik kerana anda tidak tahu bila ianya akan berlaku. Suasana agak tegang di sini tetapi pengalaman memenangi gelaran pertama sebelum ini banyak membantu saya," kata Manassero, yang menjadi pemain Itali pertama menjuarai gelaran Terbuka Malaysia.

Katanya kedua-dua gelaran yang dirangkul itu adalah berbeza dengan Castello Masters agak mudah manakala saingan di sini amat sengit dari pusingan pembukaan.

Beliau menerima hadiah wang tunai US$416,660 (RM1.26 juta) dan trofi berprestij dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Matlamat Manassero untuk muncul 50 pemain terbaik dunia mungkin tercapai dengan kejayaan di sini memandangkan beliau menduduki ranking dunia ke-57 setakat 10 April lalu.

"Berikutan pencapaian ini, saya mungkin mencapai matlamat dalam kedudukan ranking dunia. Sekiranya tercapai matlamat itu, saya akan menjadi insan paling gembira kerana hanya menjadi pemain profesional selama 11 bulan.

Manassero berkata kejayaan itu telah meningkatkan keyakinan dalam dirinya dan akan cuba memburu kejayaan lagi bagi mengekalkan momentum itu. "Sudah pasti saya akan meraikan kejayaan di sini serta ulang tahun kelahiran saya bersama keluarga dalam majlis jamuan malam," katanya.

Dalam pada itu, Bourdy melakukan catatan lima bawah par 67 pada hari ini untuk mengumpul 273 di tangga kedua diikuti pemain nombor sembilan dunia, Rory McIilroy dari Ireland Utara, dengan ketinggalan dua pukulan di belakang Manassero.

Pemain Bangladesh Siddikur Rahman muncul sebagai pemain terbaik Jelajah Asia dengan menduduki tangga kelapan, ketinggalan tujuh pukulan daripada juara.

"Penonton memberi banyak sokongan selepas melakukan pukulan birdie pada lubang terakhir...saya rasa seperti sudah menang kejohanan ini.

"Sebelum ini, ramai di negara saya tidak mengenali sangat sukan golf dan kini mereka akan beri perhatian kepada saya selepas muncul antara 10 pemain terbaik," katanya.

Pemain nombor satu dunia, Martin Kaymer dari Jerman, yang melakukan catatan par 72 pada hari terakhir, hanya berkongsi kedudukan di tangga kesembilan bersama pemain Sepanyol Alejandro Canizares dengan jumlah 280 pukulan.

Wakil tunggal negara, Danny Chia, terikat di tempat ke-41 bersama empat pemain lain dan membawa pulang US$14,750 (RM44,604).

Sementara itu, pemain New Zealand, Danny Lee, yang terikat di tangga ke-17, telah dibatalkan penyertaannya oleh marsyal kejohanan selepas beliau didapati menandakan catatan rendah pada skor kadnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain