suria

Penyokong Kedah Mahu Jurulatih Undur Diri

ALOR SETAR: Prestasi hambar pasukan Kedah musim ini yang turut menyaksikan mereka tersingkir dari saingan Piala FA malam tadi menyebabkan lebih 1,000 peminatnya mengadakan demonstrasi menuntut pengurus pasukan Datuk Khazali Din dan ketua jurulatih Ahmad Yusof meletak jawatan serta-merta.

Demonstrasi selama 30 minit itu bermula di luar Stadium Darul Aman sejurus selepas Kedah tewas 0-1 kepada Felda United di hadapan lebih 3,000 penyokong sendiri.

Sambil menyanyikan lagu keramat 'Hijau Kuning', kumpulan itu yang memegang kain rentang tertulis "jurulatih dan pengurus pasukan undur diri" enggan berganjak dan meminta bersemuka dengan jurulatih Kedah.

"Kami mahu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) segera melucutkan jawatan Ahmad Yusof, Datuk Khazali dan penolong jurulatih Radzi Md Din serta-merta kerana gagal melatih pasukan dengan baik dan menempatkan pasukan di kedudukan yang baik," kata seorang penyokong Amir Murad, 35, ketika ditemui di situ.

Sementara itu seorang lagi penyokong Daris Sobri, 23, berkata prestasi Kedah yang begitu buruk pada saingan Liga Super musim ini menuntut kepimpinan baru bagi mengembalikan kegemilangan pasukan Hijau Kuning.

"Kami tak mahu pasukan kesayangan kami terus dibelenggu dengan kekalahan. Sepanjang tujuh perlawanan musim ini Kedah hanya mempunyai dua gol dan hanya sekali menang dalam saingan Liga Super.

"Apa gunanya ada pemain muda dan berpengalaman yang bermain untuk piala AFF baru-baru ini tetapi tak gunakan peluang itu untuk membantu Kedah menang perlawanan ini," katanya.

Rasa tidak puas hati mereka disuarakan kepada wakil KFA yang datang menemui kumpulan itu dan Bernama difahamkan persatuan akan bermesyuarat hari ini bagi menentukan nasib Ahmad.

Bernama juga difahamkan KFA telah memberi amaran kepada Ahmad agar memastikan kemenangan Kedah dalam perlawanan malam tadi atau berdepan dengan tindakan persatuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain