suria

Dokic Layak Ke Separuh Akhir Dalam Tempoh 7 Tahun

KUALA LUMPUR: Pemain Australia Jelena Dokic telah layak ke separuh akhir dalam tempoh tujuh tahun selepas menewaskan pemain Serbia, Bojana Jovanovski, pada Kejohanan Tenis Wanita Terbuka Malaysia BMW di sini Jumaat.

Dokic, yang menduduki ranking ke-95 dunia, sekali lagi melakukan kejutan apabila berentap selama dua jam untuk menyingkirkan Jovanovski, pemain ranking ke-55 dunia, dengan keputusan 7-6(4) dan 6-2.

"Saya mempunyai rehat sehari semalam...jadi saya cukup bersedia untuk perlawanan ini," kata Dokic, yang mengejutkan pemain pilihan utama Francesca Schiavone pada pusingan pertama.

"Tahap kecergasan yang baik serta bermain dengan amat baik sekali pada 'tie-break' merupakan kunci kejayaan mengatasi Jovanovski," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort di sini, Jumaat.

Dokic, 27, akan menentang pemain Belanda Michaella Krajicek pada saingan separuh akhir.

Krajicek pula turut melangkah ke separuh akhir selepas menundukkan pemain berpengalaman, Ann Kremer dari Luxembourg, 6-2, 6-3.

Dalam satu lagi saingan suku akhir, pilihan keempat kejohanan Jarmila Groth dari Australia menewaskan wakil tunggal Asia, Ayumi Morita dari Jepun 7-5,3-6,7-5.

Groth, pemain ranking ke-31 dunia, akan menentang Lucie Safarova dari Republik Czech pada separuh akhir.

Safarova, pemain ranking ke-35 dunia, turut melakukan kejutan apabila menewaskan menewaskan pemain ranking ke-18 dunia, Marion Bartoli dari Perancis, dengan keputusan 6-1, 6-4. - BERNAMA

Artikel Lain