suria

32 Pasukan Sah Sertai Piala Sudirman

KUALA LUMPUR: Malaysia antara 32 pasukan yang telah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan Piala Sudirman yang akan berlangsung di Qingdao, China dari 22 hingga 29 Mei ini.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata selain juara bertahan China, pasukan lain ialah Seychelles, Afrika Selatan, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand, Vietnam dan Taiwan.

Turut mengesahkan penyertaan ialah Bulgaria, Republik Czech, Denmark, England, Perancis, Jerman, Iceland, Israel, Belanda, Rusia, Slovakia, Sweden, Ukraine, Kanada, Peru, Amerika Syarikat dan Australia.

"Tahun ini juga menyaksikan pengenalan format 12 pasukan elit berbanding lapan sebelum ini dalam kumpulan utama. Pasukan lain akan bermain dalam kumpulan terdiri daripada lapan pasukan yang dibahagi kepada dua subkumpulan empat pasukan," kata kenyataan itu pada Rabu.

Pertandingan itu terdiri daripada perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran.

China yang dibarisi pemain utama dunia mempunyai pilihan antara bekas juara dunia tiga kali dan pemenang pingat emas Olimpik Lin Dan, juara dunia Chen Jin dan tiga lagi yang tersenarai dalam 10 pemain terbaik dunia iaitu Cheng Long, Du Pengyu dan Bao Chunlai.

Bagi beregu lelaki, negara itu mempunyai pilihan sama ada juara dunia Cai Yun-Fu Haifeng atau pasangan pemain muda Zhang Nan-Chai Biao.

Tiga perseorangan wanita China menguasai ranking tiga teratas dunia iaitu Wang Shixian, Wang Yihan dan Wang Xin, manakala untuk beregu wanita China mempertaruhkan sama ada Wang Xiaoli-Yu Yang atau Cheng Shu-Zhao Yunlei.

Korea Selatan yang dijangka turut menjadi perhatian akan mempertaruhkan harapan pada juara beregu lelaki Terbuka Korea 2011 Jung Jae Sung-Lee Yong Dae, dan pasangan nombor dua dunia Ko Shung Hyun-Yoo Yeong, sementara bagi beregu campuran Korea boleh memilih antara Ko-Han Jung Eun dan Yoo-Kim Min Jung.

"Hanya tiga pasukan pernah memenangi Piala Sudirman dan China memegang rekod dengan tujuh kemenangan. Indonesia pernah menang pada 1989 dan Korea pula memenanginya tiga kali iaitu pada 1991, 1993 dan 2005," katanya kenyataan itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain