Jangan Turunkan Taraf Sukan Sea Kepada Sukaneka - MOM - Sukan | mStar

Jangan Turunkan Taraf Sukan Sea Kepada Sukaneka - MOM

KUALA LUMPUR: Langkah Indonesia memasukkan enam sukan kurang popular dan menggugurkan beberapa acara tetap, termasuk biliard & snuker dan bola sepak wanita daripada Sukan SEA Ke-26 akan datang boleh menjejaskan standard sukan dua tahun sekali itu pada masa akan datang, kata Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi.

Beliau berkata walaupun sebagai tuan rumah Indonesia mempunyai hak istimewa untuk membuat pilihan, namun republik itu perlu mengambil kira sentimen negara lain yang mengambil bahagian dalam sukan itu.

"Indonesia bercadang mengadakan 43 jenis sukan dan 542 acara pada Sukan SEA akan datang, dan membahagikannya kepada kategori Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan SEA serta sukan baru.

"Pada waktu yang sama, jawatankuasa penganjur menggugurkan sukan biliard & snuker dan mengurangkan acara lazim dalam beberapa jenis sukan. Sebaliknya, mereka memilih pool.

"Mungkin Indonesia tidak menyerlah dalam sukan berkenaan, tapi negara lain meletakkan harapan untuk meraih pingat emas melalui sukan yang digugurkan itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini apabila diminta mengulas tindakan Indonesia menggugurkan banyak acara yang dianggap boleh menafikan peluang Malaysia untuk memenangi beberapa pingat emas. Sieh berkata sekiranya tuan rumah Sukan SEA terus memasukkan acara kegemaran masing-masing, maka standard sukan itu akan menurun hingga ke taraf sukaneka bagi negara anggota Asean.

Indonesia menambah enam sukan baru iaitu bridge, paragliding, sukan roller, shorinji kempo, vovinam dan memanjat dinding. Sieh berkata antara sukan yang paling teruk terjejas ialah lumba basikal (trek), bola sepak, gimnastik berirama, petanque, belayar, menembak dan ping pong.

Mengenai lumba basikl, katanya program standard Sukan SEA sebelum ini mengandungi sekitar 12 hingga 15 acara, tetapi Indonesia hanya mahu memasukkan tujuh acara sahaja yang terdiri daripada tiga kategori untuk lelaki dan empat kategori untuk wanita.

Beliau berkata Indonesia juga menggugurkan acara bola sepak wanita dan mengurangkan jumlah acara menembak daripada 36 kepada sembilan, manakala gimnastik berirama pula hanya mempunyai satu acara berbanding lima hingga enam sebelum ini.

"Saya rasa anggota Persekutuan Sukan SEA (SGF) yang terdiri daripada 10 negara anggota Asean akan kecewa dengan tindakan Indonesia ini. Kami akan cuba berunding dengan tuan rumah pada mesyuarat SGF akan datang di Bali pada 25 Februari ini," katanya.

Sieh berkata sebagai tuan rumah, Indonesia sepatutnya berunding dengan persatuan sukan tertentu yang arif tentang peraturan sukan antarabangsa dan tidak menganjurkan sukan ini semata-mata dengan tujuan untuk menjadi juara keseluruhan.

Indonesia, yang mengadakan 43 jenis sukan dengan 490 acara apabila Jakarta menjadi tuan rumah Sukan SEA 1997, akan menjadi tuan rumah sukan ini sekali lagi di Jakarta dan Palembang dari 11 hingga 25 November ini. Senarai sukan yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA Ke-26:

Sukan Olimpik (22): Memanah (lentik dan kompaun), akuatik (terjun, renang, renang seirama, polo air), olahraga, badminton, bola keranjang, tinju, kenu, lumba basikal, ekuestrian, lawan pedang, bola sepak (futsal), gimnastik, judo, lumba perahu, belayar, menembak, ping pong, taekwondo, tenis, bola tampar (pantai dan gelanggang tertutup), angkat berat, gusti (gaya bebas dan greco).

Sukan Sukan Asia (sembilan): Besbol, biliard & snuker (pool sahaja), golf, karate, sepak takraw, bola lisut, tenis lembut, wushu.

Sukan Sukan SEA: Catur, renang sirip, pencak silat, petanque, lumba perahu tradisional, ski air.

Sukan baru: Bridge, paragliding, sukan roller, shorinji kempo, vovinam, panjat dinding. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Jadual Liga Perdana Inggeris

Artikel Berikut

Juventus Sekat Impian Inter Milan

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

Artikel Lain