suria

Pengurusan LTdL 2011 Desak PBKM Bentuk Barisan Pendaki

KUALA LUMPUR: Selepas gagal pada pendakian Genting Highlands tahun lalu, pengurusan Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL 2011) sekali lagi mendesak Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) agar segera menyediakan barisan pelumba terkuat untuk mengharumkan nama negara pada kejohanan edisi ke-16 tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL 2011, Mohamed Salleh mahu MNCF segera mencari sekurang-kurangnya tiga pelumba yang kuat untuk pendakian ke Genting Highlands dan Cameron Highlands bagi memastikan pasukan kebangsaan Malaysia berada dalam kelompok 10 teratas pada klasifikasi pasukan keseluruhan.

“Saya difahamkan mereka (persatuan) telah mengenal pasti sekurang-kurangnya dua pelumba iaitu Muhammad Rauf (Nur Misbah) dan Muhammad Nur Rizuan (Zainal).

"Saya dimaklumkan Muhammad Rauf menang ujian kelayakan pertama ke Genting Higlands manakala Muhammad Nur Rizuan muncul juara ujian kelayakan kedua.

“Bagi pihak pengurusan LTdL, saya gembira kerana persatuan telah buat persiapan rapi lebih awal iaitu sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum bermulanya pertandingan sekaligus ia akan membentuk pasukan yang kuat tahun depan. Kami sedia bantu persatuan dalam apa bentuk sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Mohamed menjelaskan pendakian ke Cameron Highlands dan Genting Highlands pada perlumbaan peringkat ke-4 serta ke-5 pada edisi LTdL 2011 sebenarnya bertujuan untuk memberi dimensi baru kepada kelangsungan (survival) pasukan lebuh raya kebangsaan Malaysia.

“Selama ini ramai mempertikaikan kredibiliti pasukan lebuh raya yang dikatakan jauh berbeza dengan pelumba trek. Saya akur dalam perkara ini. Justeru, percaturan pada perlumbaan peringkat ke-4 dan ke-5 memberi peluang kepada barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan Malaysia untuk mencari strategi bagi memantapkan barisan pendaki,” katanya.

Pasukan kebangsaan Malaysia terperosok pada tempat ke-14 klasifikasi pasukan keseluruhan tahun lalu selepas berakhirnya cabaran pendakian Genting Highlands biarpun beberapa hari menghuni kelompok lima pasukan teratas.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai persiapan edisi ke-16 LTdL 2011 yang akan kembali memulakan cabaran di Pulau Langkawi pada 23 Januari tahun depan, beliau menjelaskan persiapan kini berjalan lancar khususnya perbincangan dengan semua pihak di peringkat negeri khususnya Perlis, Perak, Melaka dan Pahang.

“Setakat ini, kita menjangkakan LTdL 2011 akan mendapat sentuhan diraja di Perlis dan Perak. Kita sedang merancangkan perkara ini dengan pihak Kerajaan Negeri Perlis dan Perak. Doa saya agar semua perbincangan berjalan lancar sebagaimana yang dirancangkan oleh semua pihak,” katanya.

Mohamed juga menjelaskan pengurusan LTdL juga akan mengadakan promosi kayuhan pra acara LTdL 2011 yang dikenali sebagai `Yellow Ride’ melibatkan lapan peringkat bermula pada 26 Disember ini di Bandaraya Melaka Bersejarah diikuti 1 Januari 2011 di Sitiawan, Cameron Highlands (2 Januari); Putrajaya (8 Januari), Nilai (9 Januari), Kuala Lumpur (15 Januari), Butterworth (16 Januari) dan Langkawi (22 Januari). Katanya, kayuhan Yellow Ride di Bandaraya Melaka Bersejarah akan diikuti oleh pertandingan Grand Prix Kebangsaan Siri Final iaitu perlumbaan sehari (one-day-race) yang juga merupakan sebahagian daripada acara promosi LTdL 2011.

Pelumba Selangor, Sarham Miswan masih menjadi pendahulu mata keseluruhan Grand Prix Kebangsaan selepas berakhir cabaran di Kedah, Johor, Terengganu dan Sarawak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Chelsea Sekadar Kutip Seri

Artikel Lain