suria

Karnival Bola Sepak Remaja Perempuan Hujung Minngu ini

PETALING JAYA: Buat julung kalinya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal mengadakan Karnival Bolasepak Remaja Perempuan Bawah 15 dan bawah 12 tahun pada 13 dan 14 November di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya.

Karnival ini dianjurkan berikutan daripada Program Pembangunan Akar Umbi Bolasepak Remaja Perempuan yang mula dilaksanakan di sekolah-sekolah bermula pada April 2010 dan ini merupakan satu inisiatif oleh FAM bagi mempromosi dan memupuk minat bermain bolasepak di peringkat sekolah, memandangkan sukan bolasepak wanita bukan merupakan salah satu pilihan sukan dalam ko-kurikulum sekolah.

Program Pembangunan Akar Umbi Bolasepak Remaja Perempuan mula diperkenalkan di sekolah-sekolah sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Pada awalnya, terdapat empat buah sekolah menengah dan empat buah sekolah rendah yang menyertai program ini.

Berikutan sambutan yang amat menggalakkan serta usaha promosi yang berterusan, tambahan lima buah sekolah menengah dan lima buah sekolah rendah termasuk sekolah-sekolah di sekitar Kuantan, Pahang juga telah menyertai program ini.

Bagi merealisasikan program ini, beberapa orang jurulatih berpengalaman telah dipilih untuk memberi latihan harian kepada pelajar-pelajar yang terlibat mengikut pelan latihan yang dirangka berdasarkan kepada perbincangan dan permintaan daripada guru-guru sekolah yang bertanggungjawab ke atas program berkenaan.

Beberapa orang jurulatih itu merupakan bekas pemain bolasepak wanita kebangsaan yang telah mengikuti kursus kejurulatihan.

“FAM berharap program pembangunan akar umbi ini akan mendapat sokongan sepenuhnya demi membina pasukan kebangsaan yang lebih mantap pada masa akan datang agar dapat menyaingi pasukan-pasukan lain di peringkat ASEAN dan seterusnya di peringkat Asia.

"Program ini merupakan satu pelan jangka panjang yang berterusan dan program sedemikian akan dipanjangkan lagi ke sekolah-sekolah di negeri-negeri lain,” menurut satu kenyataan daripada FAM, Jumaat.

Karnival ini dijangka akan disertai oleh 150 peserta bawah 15 tahun dan 100 peserta bawah 12 tahun dan dijangka Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita FAM, Tan Sri Annuar Musa akan hadir menyaksikan karnival ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain