Rooney Mampu Kawal Emosi: Capello - Sukan | mStar

Rooney Mampu Kawal Emosi: Capello

PENGURUS England, Fabio Capello hari ini memberi amaran kepada penyerang Wayne Rooney supaya menghormati pengadil-pengadil yang ditugaskan pada kejohanan Piala Dunia kali ini.

Beliau bagaimanapun tetap yakin Rooney mampu mengawal emosinya dan mempamerkan disiplin terbaik ketika pertemuan dengan Amerika Syarikat awal pagi esok.

Bercakap kepada pemberita Itali, Capello berkata, Rooney diturunkan pada setiap perlawanan kelayakan Piala Dunia dan dia tiada sebarang masalah dengan barisan pengadil.

"Saya mahu melihat Rooney yang sama pada kejohanan terulung di Afrika Selatan ini," katanya.

Capello mengakui telah mengadakan perjumpaan secara rahsia dengan Rooney untuk menasihati penyerang Manchester United itu supaya mengawal kelakuannya ketika di atas padang.

"Saya sudah bertemu dengan Rooney. Dia sentiasa dahagakan kemenangan. Semangat itu sentiasa tertanam dalam dirinya," jelas Capello.

Capello turut menasihati anak buahnya supaya berhati-hati setiap masa dan menghormati pengadil-pengadil yang diberi kepercayaan untuk mengadil perlawanan terbesar ini.

Penampilan Rooney pada Piala Dunia 2006, terhenti pada aksi suku akhir apabila tewas kepada Portugal yang diperkuat bekas rakan sepasukannya di Old Trafford, Cristiano Ronaldo.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain