suria

Pellegrini Dipecat, Mourinho Selangkah Ke Real

MADRID: Real Madrid memecat pengurus Manuel Pellegrini dan akan melantik Jose Mourinho untuk menggantikan tempatnya sebaik saja mereka mencapai persetujuan dengan Inter Milan untuk menamatkan kontrak 'The Special One' bersama kelab Serie A itu.

Berikutan spekulasi yang tersebar luas sejak beberapa minggu ini, Real menamatkan khidmat Pellegrini dalam usaha untuk membawa masuk Mourinho yang baru saja mengemudi Inter memenangi trofi Liga Juara-Juara Eropah dan liga Itali musim ini.

Presiden Florentino Perez memberitahu pengurus dari Portugal itu akan menyertai Real selepas kelab Sepanyol itu mencapai kata sepakat dengan Inter berhubung penamatan kontraknya.

"Saya sudah bersedia untuk mengakui beberapa kesilapan tetapi pelantikan Mourinho adalah peluang besar kepada Real Madrid yang sentiasa berjuang untuk kecemerlangan.

"Kami memerlukan sentuhan baru yang segar dan pengurus seperti Mourinho boleh mengambil alih tugas mengemudi skuad untuk tempoh beberapa tahun akan datang," kata Perez dalam sidang media di Santiago Bernabeu.

Perez amat berharap agar perpindahan Mourinho disempurnakan dengan segera dan pada masa sama memberitahu dia belum bercakap dengan bekas pengurus Porto dan Chelsea itu mengenai potensi untuk memperkukuh Real musim depan.

Pellegrini meninggalkan Villarreal untuk menyertai Real, Jun lalu dan menjadi sandaran utama Perez untuk menghadiahkan trofi kemenangan ke Bernabeu.

Perez melaburkan 211.5 juta pound (RM1.012 bilion) untuk membeli pemain termasuk mengeluarkan 79.5 juta pound (RM380 juta)terhadap pemain sayap Portugal, Cristiano Ronaldo dalam usaha untuk memperkukuhkan Real dan bersaing di kejuaraan Eropah dan dunia.

Namun, Real tewas kepada Lyon pada peringkat 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara Eropah dan turut kecundang kepada kelab tidak ternama Alorcon pada aksi Copa del Rey.

Pada aksi La Liga musim ini, mereka ketinggalan tiga mata di belakang juara, Barcelona.

"Kami akan melakukan apa saja untuk memenangi sebarang kejuaraan. Kami percaya kini sudah tiba masanya untuk melakukan pembaharuan dan mendapatkan khidmat salah seorang pengurus terbaik di dunia," kata Perez.

Kelmarin, Mourinho menegaskan mustahil baginya untuk kekal di Inter musim depan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain