suria

Lotus Racing Janji Aksi Terbaik Di Litar Monte Carlo

MONTE CARLO: Grand Prix Monaco pastinya menjanjikan aksi menarik memandangkan semua pemandu Formula Satu (F1) perlu bersiap sedia mengharungi Litar Monte Carlo yang agak sempit dan berselekoh.

Namun, Lotus Racing yakin pasukannya mampu mempamerkan persembahan terbaik menjelang perlumbaan pada hujung minggu ini.

Menurut Pengurus Pasukan, Graham Watson cabaran Lotus Racing bermula sebaik saja Grand Prix Sepanyol melabuhkan tirainya minggu lalu.

"Kami cuba mengatur segala persiapan sebelum malam Selasa lalu. Berbekalkan kakitangan berpengalaman, kami berjaya menepati tempoh akhir jurutera pasukan dan jentera sedia digunakan, Khamis lalu," katanya pada laman web rasmi pasukan itu.

Walaupun masih baru dalam perlumbaan itu dan tidak mempunyai peralatan lengkap berbanding pasukan yang sudah terkenal, Watson berkata, mereka berjaya membuat persiapan awal seperti dirancang.

Pemandu Lotus Racing, Jarno Trulli menyifatkan perlumbaan di Monaco sebagai sesuatu yang amat unik kerana anda mampu merasakan keterujaan sama ada ketika berlumba dan berjalan di sekitar kawasan litar.

"Setiap pemandu ingin memenangi perlumbaan di sini. Saya amat bertuah kerana pernah muncul juara di sini pada 2004. Pasukan perlu fokus pada perlumbaan dan tekanan akan mula dirasai tetapi anda perlu menanganinya," katanya.

Sementara itu, pemandu Heikki Kovalainen berkata dia tidak sabar untuk berlumba di Monaco. Baginya, di litar itu mereka tiada masa untuk bersenang-lenang dan laluan yang sempit boleh menyebabkan setiap pemandu melakukan apa jua kesilapan kecil.

"Namun saya lebih gemar berlumba di litar jalanan kerana saya boleh mengawal jentera dengan lebih bagus. Saya yakin persembahan kami di sini akan lebih memberangsangkan berbanding di Sepanyol," katanya.

Ketua Pasukan Lotus Racing, Datuk Seri Tony Fernandes menyuarakan rasa gembira kerana berada di Monaco bersama pasukannya.

Tony berkata, litar Monaco mencatat pelbagai sejarah untuk pasukan itu.

"Ia saat istimewa untuk saya dan penyokong kerana dapat melihat jentera hijau, kuning beraksi di litar lumba semula. Saya tidak sabar menanti perlumbaan ini," katanya.

Artikel Lain