Taufik Galas Misi Berganda Pada Kejohanan Piala Thomas - Sukan | mStar

Taufik Galas Misi Berganda Pada Kejohanan Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton perseorangan Indonesia Taufik Hidayat berazam untuk menumpaskan semua pemain terkemuka China, Denmark, Malaysia dan Korea Selatan pada kejohanan Piala Thomas yang akan bermula di Stadium Putra, Bukit Jalil, esok. Kata pemain itu walaupun kejohanan Piala Thomas adalah acara berpasukan, namun dia mempunyai misi peribadi untuk mengalahkan pemain perseorangan terhandal dari empat negara tersebut di samping membantu rakan sepasukannya menjulang piala berprestij itu.

"Saya tak gentar berdepan dengan Lin Dan (China), Peter Hoeg Gade (Denmark), (Datuk) Lee Chong Wei (Malaysia) dan Park Sung Hwan (Korea) kerana telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan Piala Thomas 2010 ini.

"Saya tahu kekuatan mereka dan bersedia untuk mencapai sasaran merampas kembali piala itu yang terlepas daripada tangan kami kepada China pada 2004," kata pemenang pingat emas Olimpik Athens itu kepada pemberita di sini hari ini.

China menjuarai Piala Thomas tiga tahun berturut-turut 2004 (Jakarta), 2006 (Jepun) dan 2008 (Jakarta).

Pengurus Pasukan Indonesia Yacob Rusdianto berkata pengalaman yang dimiliki Taufik amat berguna, terutama daripada segi prestasi secara berpasukan.

"Pasukan kami semakin matang dan bersatu hati dalam semangat untuk memasuki pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber.

"Tapi, jika keputusannya berbeza dengan apa yang kami harapkan, kami akan akur memandangkan pertandingan ini semakin sengit dari semasa ke semasa," katanya.

Skuad perseorangan Indonesia dianggotai Taufik Hidayat, Sony Dwi Kuncoro, Simon Santoso dan Dyonisius Hayom Rumbaka, manakala skuad beregunya pula dibarisi Markis Kido/Hendra Setiawan, Alvent Yulianto Chandra/Hendra Aprida Gunawan, Muhammad Ahsan/Nova Widianto. - BERNAMA

Artikel Berikut

Chong Wei Jadi Duta Samsung

Artikel Berkaitan

Artikel Lain