suria

LTdL 2010 Tetap Tampilkan 20 Pasukan

KUALA LUMPUR: Saingan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) yang memasuki edisi ke-15 dari 1 hingga 7 Mac ini tetap akan menampilkan 20 pasukan. Pengarah Teknikal LTdL 2010, Jamaludin Mahmood berkata, senarai empat lagi pasukan akan diumumkan dalam masa terdekat bagi melengkapkan bilangan 20 pasukan yang mengambil bahagian.

"Ia termasuklah bagi menggantikan dua pasukan pro tour iaitu Astana (Kazakhstan) dan Caisse D'Epargne (Sepanyol) yang telah mengesahkan penarikan diri dua minggu lepas," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jamaludin berkata, pihaknya telah cuba untuk mencari pasukan berstatus pro tour sebagai ganti namun gagal berbuat demikian.

"Kebanyakan daripada pasukan pro tour ini telah mengesahkan penyertaan di tiga perlumbaan di Eropah yang turut berlangsung di dalam bulan Mac, termasuklah Paris-Nice (Perancis) dan Tirreno-Adriato (Itali)," katanya.

Jamaludin turut menolak tanggapan bahawa LTdL pada tahun ini bakal kehilangan daya tarikannya berikutan hanya satu pasukan pro tour iaitu Footon Servetto dari Sepanyol yang akan mengambil bahagian.

"Jika kita lihat sebelum ini, bukan pasukan-pasukan pro tour yang memenangi perlumbaan tetapi pasukan berstatus profesional benua yang banyak menang dan mencuri tumpuan.

"Malah laluan kali ini cukup mencabar dan terbuka kerana pemenang-pemenang mungkin hanya dapat ditentukan sehingga peringkat terakhir (peringkat ketujuh) perlumbaan berbanding sebelum ini," katanya. Sehingga kini, 16 pasukan telah mengesahkan penyertaan iaitu satu pasukan Pro Tour, dua pasukan profesional benua, sembilan pasukan benua dan tiga pasukan kebangsaan.

Jamaluddin juga berkata, terdapat perubahan pada peringkat ke lima perlumbaan dari Muar, Johor ke Port Dickson yang membabitkan jarak 116.9 kilometer.

"Perubahan terpaksa dilakukan berikutan terdapat kerja-kerja pembaikan jalan di dalam jarak satu kilometer sebelum garisan penamat sekaligus menyebabkan perlumbaan itu akan ditamatkan kira-kira lima kilometer lebih awal iaitu pada jarak 111.5km," katanya.

LTdL pada tahun ini mempertandingkan tujuh peringkat perlumbaan bermula di Kota Bharu, Kelantan menyusuri Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Putrajaya, Selangor dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Senarai 16 pasukan yang telah mengesahkan penyertaan:

Pro Tour: Footon-Servetto (Sepanyol) Profesional Benua: ISD-Neri (Itali), Vorarlberg-Corratec (Austria) Benua: Drapac Porsche (Australia), Tabriz Petrochemical Cycling Team (Iran), Seoul Cycling Team (Korea Selatan), Marco Polo Cycling Team (China), Aisan Racing Team (Jepun), Max Success Sport Cycling Team (China), Le Tua (Malaysia), Team Geumsan Ginseng Asia (Korea Selatan), Azad University Cycling Team (Iran) dan Giant Asia Racing Team (Taiwan)

Pasukan Kebangsaan: Malaysia, Kazakhstan dan Afrika Selatan - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain