suria

Malaysia Mahu Bida Penganjuran Sukan Asia 2019

VIENTIANE: Selepas dua kali gagal dalam usaha untuk menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar di benua Asia, Malaysia akan kembali membida bagi menganjurkan Sukan Asia edisi ke-18 pada 2019.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, sebelum membida penganjuran Sukan Asia 2019, Malaysia juga cuba membida penganjuran Persidangan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi sesi 2013 di Kuala Lumpur.

"Jika Malaysia dapat menganjurkan persidangan IOC tersebut, ia akan menguatkan lagi bidaan Kuala Lumpur bagi menganjurkan Sukan Asia pada 2019," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Malaysia sebelum ini telah dua kali membida bagi menganjurkan Sukan Asia iaitu bagi edisi ke-15 pada 2006 dan edisi ke-16 pada tahun depan.

Bagi edisi ke-15, Malaysia tewas dalam bidaan kepada Qatar sementara bagi edisi ke-16, Kuala Lumpur hampir dipilih menjadi tuan rumah.

Bagaimanapun kerajaan ketika itu di bawah pimpinan Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi menolaknya atas alasan penganjuran sukan tersebut yang dianggarkan sebanyak RM1.3 bilion ketika itu adalah terlalu tinggi, dan akhirnya Guangzhou, China terpilih sebagai tuan rumah edisi itu.

Sukan Asia edisi ke-17 pada 2014 akan berlangsung di Incheon, Korea Selatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain