suria

Bola Sepak Malaysia Menentang Laos Mungkin Disiar Secara Langsung

VIENTIANE: Usaha sedang dilakukan bagi membolehkan penyokong dan peminat bola sepak Malaysia menyaksikan secara langsung perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan SEA antara Malaysia menentang tuan rumah, Laos esok, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata kementeriannya melalui Majlis Sukan Negara telah pun berbincang dengan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan untuk mengadakan siaran langsung itu.

"Sukan bola sepak adalah sukan utama di negara kita... oleh itu pasti ramai yang mahu menyaksikan perlawanan itu secara langsung menerusi televisyen," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Skuad negara kendalian K. Rajagobal mara ke separuh akhir untuk bertemu Laos, esok selepas menewaskan juara lapan kali berturut-turut, Thailand 21 dalam aksi terakhir saingan Kumpulan A pada Jumaat lepas.

Menurut beliau siaran langsung itu akan memberikan galakan kepada semua pemain kerana pasukan yang akan mereka berdepan ialah pasukan tuan rumah yang sudah tentu mempunyai kelebihan daripada segi tempat dan sokongan padu penyokong.

"Dengan mengadakan siaran langsung ini, saya mengharapkan para pemain kita tahu bahawa walaupun berhadapan dengan pasukan yang mempunyai sokongan padu tempatan, mereka akan dapat mengingatkan diri mereka bahawa seluruh rakyat Malaysia turut menyaksikan perlawanan melalui siaran langsung itu," katanya.

Perlawanan separuh akhir Malaysia-Laos itu dijadual berlangsung pada pukul 8 malam (waktu Malaysia) di Stadium Nasional, Kompleks Sukan Nasional.

Kali terakhir skuad Malaysia meraih pingat emas pada temasya dwitahunan ini ialah 20 tahun lepas (1989) di Kuala Lumpur di bawah bimbingan jurulatih dari Britain, Trevor Hartley.

Sementara itu, Razali turut mengucapkan tahniah kepada atlet-atlet negara kerana sudah mencapai 50 peratus daripada jumlah sasaran pingat emas iaitu antara 30 dan 35 pingat pada temasya Sukan SEA kali ini.

"Sehingga semalam, kita sudah berjaya mengutip 15 pingat emas... separuh daripada jumlah sasaran yang kita buat. Ini adalah petanda yang kita mampu capai sasaran itu.

"Namun begitu, setiap kali bertemu atlet, sasaran pingat itu adalah sebahagian daripada matlamat kita di sini kerana kita mengharapkan mereka dapat meraih pengalaman sebanyak mungkin," katanya.

Setakat pukul 1 tengah hari waktu tempatan, kontinjen Malaysia telah pun meraih 16 pingat emas, 18 perak dan 26 gangsa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Acara Sukan Sea Laos Hari Ini

Artikel Lain