suria

Skuad Menembak Sumbang Satu Perak Dan Satu Gangsa

VIENTIANE: Malaysia meraih satu pingat perak dan satu gangsa pada hari pembukaan sukan menembak Sukan SEA ke-25 di Lapang Sasar, Kompleks Sukan Nasional Laos di sini, semalam.

Trio Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, Shahera Rahim Raja dan Nur Suryani Mohd Taibi menyumbang pingat perak itu menerusi acara 10 meter Air Rifle Berpasukan Wanita manakala gangsa disumbangkan Nur Suryani dalam acara 10m Air Rifle Wanita Individu.

Dalam acara berpasukan, Nur Ayuni mencatat 389 mata, Shahera (390) dan Nur Suryani (388) untuk mengumpul mata keseluruhan sebanyak 1,167 sekaligus mengikat penembak wanita negara berkongsi mata keseluruhan bersama pasukan Thailand dan Singapura.

Pada pusingan penentuan, Thailand yang diwakili oleh Thanyalak Chotphibonsin, Sasithon Hongprasert dan Sirijit Khongnil mencatat lapan mata untuk meraih emas sementara Malaysia yang mengumpul lima mata mendapat pingat perak.

Singapura yang dibarisi Goh Jia Yi, Haw Siew Peng dan Aqilah Sudhir mendapat tiga mata untuk pingat gangsa.

Nur Ayuni kemudian menyumbangkan satu gangsa dalam acara wanita individu selepas mengutip 491.90 mata di belakang penembak Thailand, Thanyalak Chotphibonsin yang meraih perak (496.20) dan peserta Singapura Goh Jia Yi (496.20) yang meraih emas.

Penentuan pingat emas dan perak terpaksa dibuat melalui pusingan penentuan yang menyaksikan penembak Singapura berjaya mengumpul 10.7 mata untuk meraih emas manakala atlet Thailand mencatat 10.3 mata untuk pingat perak.

Pengurus pasukan Menembak Malaysia Mohd Emran Zakaria berkata kedua-dua acara itu yang menyumbangkan pingat hari ini sebenarnya tidak termasuk dalam sasaran kontinjen negara.

"Pingat hari ini tetap bonus kepada kita dan sebagai penaik semangat penembak Malaysia," katanya.

Mohd Emran berkata dua acara yang dijangka berpeluang cerah menghasilkan emas bagi Malaysia esok ialah 50m Rifel Prone Wanita yang akan disertai oleh Nur Suryani Mohd Taibi, Norain Ibrahim dan Muslifah Zulkefli.

Satu lagi acara ialah 10m Air Pistol Wanita yang disertai oleh Bibiana Ng, Joseline Cheah dan Siti Nur Masitah Mohd Badrin. BERNAMA

Artikel Lain